Pengarah Yayasan Sarawak, Mersal Abang Rosli menyerahkan cek simbolik berjumlah RM3.46 juta kepada Ketua Pegawai Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.

KUCHING : Yayasan Sarawak membayar RM3.46 juta kepada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebagai sebahagian komitmen membantu meringankan beban pelajar Sarawak membayar balik pinjaman pengajian mereka.

Yayasan Sarawak dalam satu kenyataan berkata, setakat ini, kerajaan negeri melalui agensi itu telah menyalurkan jumlah terkumpul bernilai RM36.13 juta bantuan dalam membantu pelajar membayar balik pinjaman PTPTN mereka.

Inisiatif itu katanya, akan terus memberi manfaat kepada seramai 12,700 anak Sarawak yang dikenalpasti oleh PTPTN sebagai tamat pengajian dengan jayanya dan melangsaikan 30 peratus dan ke atas pinjaman PTPTN mereka bagi Tahun 2021.

“Yayasan Sarawak bertindak sebagai perantara antara kerajaan negeri dan PTPTN untuk inisiatif ini. Oleh tiu, pelajar tidak perlu memohon untuk insentif ini.

“Ia dilaksanakan secara automatik oleh PTPTN kerana mereka yang mengenalpasti pelajar yang telah menamatkan pengajian dengan jayanya dan bayaran balik kepada PTPTN telah mencapai 30% dan ke atas,” katanya.

Sehubungan itu, pelajar boleh menyemak kelayakan masing-masing dari semasa ke semasa di www.ptptn.gov.my/semakaninsentifbayaranbalikanaksarawak/ untuk insentif tersebut.

“Jika ada apa-apa persoalan berkenaan insentif ini, pelajar boleh hubungi PTPTN secara terus. Peminjam yang tidak termasuk dalam mana-mana kumpulan penerima terawal, akan diproses dalam kumpulan berikutnya.

“Namun begitu, pelajar masih disarankan untuk teruskan membayar balik pinjaman PTPTN dengan tetap kerana itu adalah suatu tanggungjawab,” katanya.

Dalam pada itu, pejabat Yayasan Sarawak Kuala Lumpur menganjurkan Majlis Ramah Tamah Gawai Raya yang dirasmikan Pengarah Yayasan Sarawak, Mersal Abang Rosli.

Program turut dihadiri oleh pegawai Ibu Pejabat Yayasan Sarawak dan pejabat cawangan Yayasan Sarawak Kuala Lumpur, PTPTN, Pejabat Perhubungan Sarawak, pesara Yayasan Sarawak dan pelajar tajaan Yayasan Sarawak.

Majlis diserikan dengan penyerahan cek simbolik oleh Mersal kepada Ketua Pegawai Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak