PERBADANAN Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (Pusaka) diamanahkan untuk menerajui pembangunan industri buluh di Sarawak bagi mengurangkan kebergantungan kepada kayu balak sebagai sumber bahan mentah untuk industri perkayuan.

Selaras dengan itu, Pusaka mempromosikan buluh sebagai sumber alternatif bahan mentah untuk melengkapkan kayu kerana potensinya untuk pembinaan, pembuatan dan industri makanan serta untuk pemuliharaan alam sekitar.

Menurut Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, sebagai permulaan seluas 8,000 hektar ladang buluh komersial serta 800 hektar ladang buluh komuniti di wilayah tengah diusahakan sehingga tahun 2027.

“Daripada keluasan tersebut, dijangka 264,000 tan batang buluh dapat dihasilkan untuk digunakan oleh produk nilai tambah seperti bio-char, cips buloh, flooring tekstil, kraf tangan dan sebagainya,” katanya.

Pengerusi Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (Pusaka) itu berkata, pihak kerajaan telah mengenal pasti sektor buluh sebagai salah satu industri yang perlu diceburi sebagai penjana pendapatan negeri.

“Untuk makluman melalui usahasama Pusaka dan Subur Tiasa Holding Berhad, sebuah Kilang Bio-Char akan ditubuhkan di Nanga Dap, Sibu awal tahun depan,” ujarnya.

Tambahnya, sebagai langkah memastikan sumber benih yang bermutu untuk tujuan penanaman komersial dan kebun komuniti di wilayah tengah, Pusaka membangunkan pusat semaian buluh di Selumit Government Sub-Centre, Tanjung Manis pada 25 November 2021.

“Tapak semaian tersebut dapat memuatkan lebih kurang 150,000 anak benih buluh pada satu-satu masa. “Dalam pada itu, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM5 juta untuk menyediakan pusat semaian benih buluh,” ujarnya. Mengulas lanjut katanya terkini, Pusaka akan menwujudkan tapak semaian buluh di Tanjung Manis yang bagi peringkat permulaannya dapat menyediakan 150,000 anak benih pada satu-satu masa.

“Kapasitinya akan ditambah pada masa akan datang dengan adanya teknologi penyediaan anak benih melalui tissue culture bagi menampung keperluan penaman buluh di wilayah tengah. “Dalam masa yang sama, Pusaka akan membekalkan benih anak buluh betung untuk ditanam oleh penduduk sekitar,” katanya lagi.

Pelan Induk Pembangunan Industri Buluh Sarawak dibangunkan oleh Pusaka pada April 2019, manakala Jawatankuasa Pemandu Pembangunan Industri Buluh Sarawak (SaBID) dan Jawatankuasa Teknikal Pembangunan Industri Buluh Sarawak (SaBIDTec) dibentuk pada November 2019.

Projek perintis buluh Sabal di Simunjan seluas 25 hektar dengan 10,000 anak pokok buluh daripada 13 spesies mula ditanam sejak Disember 2018 yang bertujuan untuk memastikan bekalan buluh berkualiti tinggi yang konsisten, membangunkan model untuk ladang buluh masa depan yang berdaya maju dari segi teknikal dan komersial serta menerokai potensi perniagaan yang lebih besar bagi industri buluh masa depan Sarawak.

Pusaka turut melaksanakan program latihan kemahiran pertukangan kayu di Tanjung Manis dengan memberi penekanan kepada aktiviti hiliran seperti pembuatan perabot serta industri berasaskan buluh.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak