CENDERAHATI… Fatimah (dua kanan) menyerahkan cenderahati sebagai kenang-kenangan kepada Raden (dua kiri).

KUCHING: Seramai 1,900 anak-anak pekerja Indonesia yang berdaftar menikmati pendidikan yang sempurna menerusi penubuhan Pusat Pembelajaran Komuniti (CLC) dalam sektor perladangan di Sarawak.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, jumlah yang direkodkan itu melibatkan 16 CLC di Miri, Bintulu, Mukah dan Simunjan.

“Namun begitu, masih terdapat segelintir bilangan anak-anak pekerja warga Indonesia khususnya di sektor perladangan yang masih menunggu kelulusan pendaftaran dan makluman daripada Putrajaya setakat ini.

“Bagi kita di Sarawak, kita tekankan pendaftaran kerana akur kepada kriteria-kriteria yang ditetapkan bagi memastikan anak-anak dididik dalam persekitaran yang selamat dan kondusif, selain diasuh oleh orang yang bertauliah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima kunjungan hormat daripada Konsul Jeneral Indonesia di Kuching, Raden Sigit Witjaksono di pejabatnya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut kata Fatimah, CLC ditubuhkan khusus kepada anak-anak pra sekolah berusia 7 sehingga 12 tahun dengan silibus pendidikan Indonesia selain dididik oleh guru-guru dari Indonesia.

“CLC ditubuhkan bagi membolehkan anak kecil masih boleh bersama ibu bapa di sini, namun apabila anak-anak meningkat usia selepas 12 tahun, mereka perlu balik dan menyambung pendidikan di Indonesia.

“Ini kerana mengikut Undang-Undang Buruh, mereka tidak dibenarkan membawa anak-anak bekerja ke Malaysia,” katanya.

CENDERAHATI… Raden (dua kiri) menyerahkan plak cenderahati sebagai kenang-kenangan kepada Fatimah ( kiri).

Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak