KUCHING: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini memerintahkan seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun bon berkelakuan baik selama tiga tahun,atas kesalahan memiliki tiga bilah kerambit dan seunit penumbuk buku lima besi.

Mahkamah juga menetapkan jaminan RM10,000 bagi bon tingkah laku yang baik dengan dua orang penjamin tempatan.

Tertuduh mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Afidah Abdul Rahman.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki senjata berbahaya tersebut tanpa sebarang alasan munasabah di sebuah bilik rumah setinggan di Jalan Lui Shan Bang, Kota Sentosa, kira-kira jam 9 malam, 29 November 2021.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 7 (1) Akta Bahan-bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang boleh dipenjara untuk suatu tempoh tidak kurang daripada lima tahun dan tidak lebih 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Semasa sebutan kes, dia menyatakan bahawa tidak berniat mencederakan sesiapa menggunakan senjata tersebut.

Selain itu, tertuduh juga memohon diringankan hukuman kerana perlu menyara seorang anak dan kedua-dua ibu bapa yang telah uzur.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Danial Mohamad Ali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh dibawa keluar daripada Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak