Dadah: tertuduh (Zulkarnain) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen oleh anggota polis.

KUCHING: Seorang pemuda tempatan dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, kerana terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah berulang.

Hakim Mohd Taufik Mohd@Mohd Yusof menjatuhkan hukuman terhadap Zulkarnain , 35, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, boleh dihukum mengikut Seksyen 39C(1)(b)  daripada Akta yang sama.

Mengikut pertuduhan, dia melakukan kesalahan itu di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPD Kuching, sekitar jam 7.05 malam, 19 Disember 2020.

Selain itu, tertuduh juga mempunyai dua kesalahan lampau melibatkan penyalahgunaan dadah yang sama iaitu methamphetamine dan amphetamine pada tahun 2017 di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya, manakala Seksyen 39C (1)(b) Akta yang sama membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan sebat tidak lebih daripada tiga sebatan.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret, seorang wanita dijatuhi hukuman penjara 24 bulan kerana memiliki 6.67 gram methamphetamine.

Tertuduh Alicea Darwin, 40, mengaku bersalah di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi atas satu pertuduhan di bawah 12(2) ADB 1952, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (1) Akta yang sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan sebat maksimum sembilan sebatan.

Alicea didapati memiliki 6.67 gram dadah jenis methamphetamine di tempat letak kereta di belakang sebuah restoran berhampiran Jalan Ban Hock di sini sekitar jam 5 petang pada 7 April lepas.

Pendakwaan kes di dilakukan secara berasingan oleh Timbalan Pendakwa Raya Danial Mohamad Ali dan Pegawai Pendakwa ASP Rogayah Rosli.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak