Caption: Abang Johari (tengah) merasmikan Sambutan Peringatan Hari Anti Dadah Kebangsaan dan Program Jualan Terus Dari Ladang Keluarga Malaysia 2022 di Dewan Patinggi Ali, di Gedong, hari ini.

GEDONG: Daerah Gedong yang sekitar 90 kilometer (km) dari bandar raya Kuching bakal mempunyai laluan Sistem Transit Aliran Autonomi (ART) pertama Sarawak.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia merupakan sebahagian pelan pembangunan jangka panjang bagi mentransformasikan kawasan luar bandar di negeri ini.

“Kerajaan Sarawak akan membangunkan jalan raya berkembar dari Serian ke Gedong yang kemudian menjurus ke Kota Samarahan sehingga ke Sebuyau.

“Disebabkan adanya jalan baharu tersebut, maka lebih baik kita menambah satu lagi laluan ART dari Kampung Rembus, Kota Samarahan terus ke Gedong dan Gedong ke Serian.

“Ini kerana dalam masa yang sama akan dibina laluan ART ke Serian dari Kota Samarahan. Saya melihat ada jajaran laluan yang hilang kerana stesen terakhirnya berada di kampung berkenaan,” katanya.

Adun Gedong itu berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Peringatan Hari Anti Dadah Kebangsaan dan Program Jualan Terus Dari Ladang Keluarga Malaysia 2022 di Dewan Patinggi Ali, di sini, hari ini.

Menurutnya, kerajaan sekarang dalam peringkat membuat kajian mengenai pembinaan jalan raya baharu tersebut dan akan dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun ini melalui Agensi Pembangunan Wilayah Bersepadu Samarahan (IRSDA).

Untuk rekod, ART berkuasa hidrogen yang pertama di Malaysia itu melibatkan cadangan pembinaan jajaran laluan Kuching-Samarahan dan Kuching-Serian dengan terminal utama akan dibina di kawasan Padang Pasir berhampiran Masjid bandar Kuching.

Projek yang menelan kos sekitar RM6 bilion itu dijangka bakal memulakan kerja-kerja fizikal pada September depan dan dijangka beroperasi secara komersial bermula tahun 2025.

Suara Sarawak