SIBU: Kreativiti unik dalam menjual ayam hidup yang dibungkus menggunakan surat akhbar menarik perhatian pengunjung termasuk pelancong dalam dan luar negara untuk melihat lebih dekat.

Lebih berpuluh-puluh tahun, tradisi menjual ayam hidup yang dibungkus rapi menggunakan surat khabar ini telah menjadi identiti Sibu yang tidak dapat dilihat di mana-mana kawasan lain di Sarawak.

Bagi penulis sendiri, pengalaman melihat ayam yang dijual dalam keadaan dibungkus menggunakan surat akhbar itu adalah strategi perniagaan yang jarang dilihat dan itu adalah antara perkara yang menarik perhatian pembeli.

Menurut penjual ayam bungkus, Karen Mina, 50, idea membalut ayam itu diwarisi sejak turun-temurun bagi menjaga kebersihan keadaan persekitaran tempat jualan selain memberi kemudahan kepada pembeli.

“Pembungkusan ayam berkenaan dilakukan supaya najisnya tidak jatuh ke lantai.

“Kebiasaannya ia dipanggil ayam pencen dan boleh dijual antara RM23 dan tidak lebih RM30 seekor bergantung keadaan pasaran semasa,” katanya ketika ditemui media di gerai jualannya di Pasar Besar Sibu, kelmarin.

Berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang tersebut, Karen berkata, dia telah menjalankan perniagaan tersebut sebelum Pasar Besar Sibu diwujudkan pada 1996.

Katanya, dia mampu menjual lebih 100 ayam hidup sebulan dan menyediakan sebanyak 36 ekor ayam hidup sehari untuk dijual di pasar tersebut.

“Apabila kami tidak dapat menghabiskan semua jualan ayam tersebut dalam sehari, kami akan membawa ayam-ayam tersebut balik dan melepaskan semua ayam di kandang.

“Kemudian esok hari, kami akan menangkap semula ayam untuk diikat…memang penat melakukan pekerjaan ini kerana perlu bangun awal pagi, tangkap ayam, ikat dan jual kepada pelanggan,” katanya sambil berseloroh.

Sementara itu, dia turut berharap tradisi jualan ayam bungkus ini dikekalkan agar tidak hilang ditelan zaman, malah dia turut mewariskan perniagaan keluarga berkenaan kepada anak-anaknya.

Dalam pada itu, menurut peniaga sarung ketupat palas dan ketupat Iban, Faitah Wahed, 47, proses anyaman ketupat miring sedikit rumit berbanding ketupat palas.

“Dalam sehari, saya mampu membuat 100 biji sarung ketupat bagi kedua-duanya. Bagi proses anyaman ketupan miring, ia menggunakan daun ‘biru’ yang dihantar oleh pembekal kepada kami.

“Sarung ketupat miring sentiasa mendapat sambutan daripada pelanggan terutama ketika musim perayaan Gawai untuk mereka melakukan upacara miring, begitu juga sarung ketupat palas turut mendapat sambutan.

“Saya menjual sarong ketupat miring dengan harga lapan biji RM1 manakala bagi yang telah diisi dengan beras, lapan biji berjumlah RM2 manakala untuk sarong ketupat palas pula, 10 biji RM2.

“Dalam pada itu, saya turut menjual madu, belacan, sagu, daun palas dan memperoleh pendapatan anggaran antara RM30 hingga RM50 sehari,” ujarnya yang telah berniaga di Pasar Besar Sibu sejak 2014.

Bagi peniaga sayur-sayuran, Ngu, 80, dia bersyukur kerana perniagaannya mendapat sambutan, sekali gus dapat menampung kos sara hidup keluarganya.

Ujar peniaga yang telah berniaga lebih 30 tahun itu, dia mampu menjual sayur-sayuran segar sekitar RM200 hingga RM300 sehari dan mampu mencapai pendapatan antara RM4,000 hingga RM5,000 sebulan.

“Saya bersyukur kerana masih ramai pelanggan yang datang dan membeli barang dapur mereka di sini, secara tidak langsung ia dapat membantu peniaga kecil-kecilan seperti kami,” katanya yang membuka gerai seawal jam 5.00 pagi setiap hari.

AYAM BUNGKUS… Karen Mina menimbang ayam hidup yang dibungkus menggunakan surat khabar lama di Pasar Besar Sibu.

 

SEGAR… Antara sayur-sayuran yang dijual di Pasar Besar Sibu.

 

FAITAH WAHED menunjukkan ketupat miring dan ketupat lepas yang dijual di gerainya. | MOHD ALIF NONI

Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak