KUCHING: Kerajaan Sarawak akan mencari penyelesaian terbaik dalam membantu menangani kenaikan kos sara hidup rakyat sebelum langkah tertentu dilaksanakan di peringkat negeri ini termasuk bantuan khas.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kenaikan harga barangan ketika ini bukan hanya berlaku di Sarawak tetapi di seluruh dunia susulan kemelesetan ekonomi dan keadaan yang tidak menentu.

“Kerajaan akan melihat untuk menyediakan bantuan khas kewangan. Kami perlu mendapatkan data mengenainya terlebih dahulu dan mencari langkah penyelesaian terbaik.

“Contohnya sekarang menyediakan bantuan deposit perumahan sebanyak RM10,000 untuk B40 dan M40, ia juga merupakan salah satu bantuan disediakan kerajaan bersesuaian dengan keadaan semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya adakah kerajaan akan menyediakan bantuan khas seperti kewangan khususnya bagi golongan B40 selepas Merasmikan Rover Moot Pengakap Pertama Sarawak di Tebingan Kuching, kelmarin.

Mengulas lanjut, katanya isu kenaikan harga barangan di Malaysia juga akibat masalah yang berlaku di rantau Eropah terutamanya kerana negara ini mengimport barangan dari luar negara.

“Selain menjadi pengimport, nilai mata wang negara juga lemah. Ini juga antara faktor yang mempengaruhi kenaikan harga barang.

“Untuk menangani masalah ini, tidak ada langkah penyelesaian yang lurus. Justeru itu kita perlu mempunyai dasar sendiri, Sarawak perlu meningkatkan produktiviti makanan, iaitu keselamatan makanan.

“Dalam hal ini, amat penting untuk kita mempunyai pertanian komersial yang dibangunkan menggunakan teknologi cekap kerana ia mampu membantu mengurangkan kos pengeluaran serta menstabilkan harga barangan,” jelasnya.

Tambahnya, antara langkah yang diambil Sarawak adalah memberikan subsidi elektrik dan sewaan bangunan perniagaan milik kerajaan.

“Ini sahaja yang dapat kita lakukan setakat ini kerana masalah ini sangat rumit. Tetapi mahu atau tidak kita juga mesti mencari jalan penyelesaian.

“Namun masalah kenaikan harga dan inflasi ini biasanya bersifat sementara kerana putaran ekonomi. Kebiasaannya ia akan kembali normal selepas satu atau dua tahun, maka sekarang kita tetap perlu menghadapinya,” katanya lagi.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak