Bayi Federick Jali yang baru berusia tiga minggu sedang bertarung nyawa akibat masalah jantung.
Entia Nyantau mengharapkan bantuan orang ramai untuk membantu membiayai kos pembedahan anaknya, Federick Jali.

KUCHING: Seorang bayi lelaki sedang bertarung nyawa, apabila disahkan mengalami masalah jantung sejak dilahirkan.

Disebabkan oleh transposisi arteri besar iaitu dua saluran utama telah bertukar tempat, ia kini mengancam nyawa Federick Jali yang baru berusia tiga minggu.

Dia mesti menjalani pembedahan bagi mengalihkan semula arteri itu untuk menyelamatkan nyawanya.

Bagaimanapun disebabkan kemiskinan keluarga, ibu bapanya iaitu Naga Alap, 34, dan Entia Nyantau, 27, tidak mampu menanggung kos pembedahan sebanyak RM80,000.

Selain kos pembedahan yang besar, bayi itu juga perlu dibawa ke Kuala Lumpur untuk menjalani pembedahan.

Berasal dari Kuching, Entia bersama-sama bayinya itu baru tiba di Kuala Lumpur dan tanpa mengenali sesiapun, dia terpaksa menghadapi banyak tekanan termasuk pengangkutan, makanan, penginapan dan lain-lain.

Ia menyedihkan. Untuk menyelamatkan anaknya, Entia terpaksa menahan air mata dan tidak akan berputus asa.

Mempunyai tiga orang anak, Entia yang merupakan suri rumah hanya bergantung pada pendapatan suaminya, seorang mekanik dengan gaji yang tidak seberapa.

Maka pasangan itu tidak mampu menanggung kos pembedahan Federick.

Justeru, pekerja sosial Persatuan Kebajikan Amal Da Ai Malaysia, Celine Ng berkata dalam keadaan terdesak dan tidak berdaya, Entia hadir menemui mereka untuk meminta bantuan.

Sehubungan itu, beliau berkata Persatuan Kebajikan Amal Da Ai Malaysia sedang melancarkan kempen kutipan derma untuk membiayai kos pembedahan jantung bayi malang itu.

“Kami amat berharap agar orang ramai dapat menyokong kutipan derma kami supaya bayi lelaki itu dapat pulih secepat mungkin,” katanya.

Celine berkata sumbangan boleh disalurkan melalui akaun bank Persatuan Kebajikan Amal Da Ai Malaysia (8881047120904 Ambank).

Katanya penyumbang juga dikehendaki menghantarkan slip kepada mereka untuk rekod, supaya jumlah dana yang dikumpulkan dapat didedahkan kepada umum.

Mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang keadaan Federick boleh menghubungi Celine di talian 010-2186816.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak