Belum ada petunjuk baharu mengenai kapal tangki yang karam

BINTULU : Pusat Operasi Mencari dan Menyelamat (MRSC) Maritim Kuching telah mengkoordinasikan operasi mencari dan menyelamat (carilamat) bagi mengesan sebuah kapal tangki yang dilaporkan karam di perairan Samalaju, semalam.

Carilamat tersebut telah diaktifkan bersama Polis Diraja Malaysia, Pasukan Polis Marin,  Unit Udara Bomba, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia  dan Jabatan Laut Malaysia.

Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, setakat ini, tinjauan melalui udara dan aset laut di lokasi kapal tangki Banga 2 dilaporkan karam tidak menemukan sebarang tumpahan minyak mahupun peralatan kapal terapung di lokasi.

“Pencarian melalui udara pada hari ini turut dilakukan oleh Unit Udara Bomba dengan menggunakan Helikopter MI171 yang melibatkan keluasan pencarian 183.60 batu nautika persegi.

“Keluasan pencarian di sekitar perairan Samalaju pada hari ini merangkumi seluas 336.19 batu nautika persegi dan melibatkan aset Maritim Malaysia iaitu KM SETIA,” katanya menerusi satu  kenyataan.

Katanya lagi, aset bot serta pelantar pihak Petronas dan Shell Bintulu yang berhampiran dengan kawasan pencarian juga telah dimaklumkan.

“Keadaan cuaca pada hari ini sedikit berangin dengan kelajuan 10 hingga 20 kmsj, dengan laut berombak 0.5 hingga 1.5 meter.

“Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) telah ditubuhkan di Samalaju Industrial Port dan kekuatan keseluruhan pasukan penyelamat hari ini adalah seramai 52 orang,” tambahnya lagi.

Semalam, MRSC Kuching telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (carilamat) seorang kru kapal tangki yang dikhuatiri hilang kira-kira jam 11.15 pagi.

Kejadian dilaporkan berlaku  di perairan Samalaju pada jarak lebih kurang 40.2 batu nautika dari barat laut Bintulu.

Sementara itu, Maritim Malaysia  sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh Komuniti Maritim untuk melaporkan sebarang kecemasan di laut secara terus melalui talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu ditalian 086-314 254 dan Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak 082-432544/ 082-432016 yang beroperasi 24 jam.

Anggota penguatkuasa Maritim Malaysia Zon Maritim Bintulu melakukan pencarian seorang kru   yang disyaki hilang setelah kapal tangki dilaporkan karam di perairan Samalaju.

Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak