KUCHING: Kerajaan sedia mempertimbangkan cadangan untuk merangka undang-undang memecat wakil rakyat yang tidak berfungsi atau bermasalah bagi memperluaskan kuasa pengundi.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, menerusi undang-undang tersebut, rakyat boleh menghantar petisyen kepada kerajaan untuk memilih wakil rakyat baharu di kawasan masing-masing menerusi pilihan raya.

Ujarnya, perkara tersebut bukan luar biasa dan boleh dipertimbangkan untuk diwartakan di negara ini kerana ia sudah dikuatkuasakan di beberapa negara seperti di United Kingdom dan New Zealand.

“Sekiranya seseorang wakil rakyat tidak berfungsi atau bermasalah di kawasan masing-masing, pengundi mungkin boleh memecat wakil yang mereka pilih tersebut pada masa depan,” katanya.

Terdahulu pada Mei lalu, Wan Junaidi memberitahu satu Rang Undang-Undang (RUU) mengembalikan hak pengundi bagi memilih semula wakil rakyat yang dirasakan tidak ‘cemerlang’ akan dibuat menerusi fasa kedua undang-undang pilihan raya di Malaysia.

Menurutnya, ia bagi memberi kuasa kepada rakyat untuk memilih wakil rakyat yang dirasakan boleh memberi perkhidmatan terbaik selepas memenangi pilihan raya.

Beliau berkata, setakat ini masih belum ada indikator rasmi peratusan pengundi yang diperlukan bagi membolehkan wakil rakyat sedia ada dipanggil semula untuk bertanding selepas gagal melaksanakan tanggungjawab dengan baik.

Jelasnya, Jawatankuasa Pilihan Khas berpendapat, undang-undang ‘memanggil semula’ wakil rakyat boleh dilaksanakan di negara ini.

Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said sebelum ini menghantar notis cadangan usul ‘Rang Undang-Undang (RUU) Pemecatan Ahli Parlimen 2021’ kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak