KUCHING: Seorang penjual buah dijatuhi hukuman penjara 12 bulan kerana mencederakan dua orang lelaki menggunakan sebilah kapak ketika sedang memancing di Jeti Kampung Bintangor, Ajibah Abol, pada 12 Julai lalu.

Tertuduh Harris, 45, mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, dia didakwa sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Abang Mohd Sofean, 26, dan Mohd Faizul, 33, menggunakan senjata yang boleh membunuh.

Pendakwaan bagi kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh dijatuhi hukuman penjara 10 bulan, manakala pertuduhan kedua dia dijatuhi hukuman penjara 12 bulan.

Mahkamah menetapkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan pada 13 Julai lepas.

Menurut fakta kes, pengadu bersama tiga orang lagi rakannya sedang memancing di jeti berkenaan tiba-tiba didatangi seorang lelaki tidak dikenali dengan membawa kapak yang bertanyakan di mana teman wanitanya.

Pengadu hanya menjawab tidak mengetahui ke mana teman wanita tertuduh. Berang akan jawapan tersebut, tertuduh lalu bertindak agresif menetak mereka.

Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad memohon agar tertuduh dijatuhkan hukuman berat terhadap tertuduh sebagai pengajaran.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak