RAKAM KENANGAN… Nur Syazwani meraikan kejayaan bersama ibu, Hazrah Setan (kiri) dan kakaknya, Nor Syahrin Redi (kanan).

KOTA SAMARAHAN: Biarpun pernah berasa ingin berputus asa dalam melanjutkan pengajian, ia tidak mematahkan semangat Nur Syazwani Redi untuk terus meraih kejayaan sehingga muncul sebagai penerima Anugerah Khas pada Majlis Konvokesyen Ke-93, Universiti Teknologi Mara (UITM) Sarawak hari ini.

Sebaliknya, cabaran yang dihadapi itu menjadi mudah untuk wanita dari Kuching ini kerana setiap langkahnya dalam menimba ilmu, direstui dan diiringi doa ibu serta keluarga.

Menjadikan keluarga dan pensyarah sebagai pembakar semangatnya, Nur Syazwani, 29, berkata, nasihat dan bimbingan daripada kesemua insan berkenaan sentiasa terpahat di hatinya sehingga ke hari ini.

“Mereka menjadi sumber inspirasi saya untuk menjadi lebih cekal dan kuat sedangkan pernah satu ketika, saya merasa putus asa disebabkan tertekan.

“Ini kerana untuk menjadi yang terbaik dan mengekalkan pencapaian cemerlang adalah antara cabaran besar kepada pelajar.

“Namun begitu, saya bersyukur kerana ibu, keluarga dan pensyarah sentiasa menjadi penyuntik semangat dan menasihati saya untuk perbaiki diri dan jadi yang terbaik demi masa depan,” katanya ketika ditemui di Istiadat Konvokesyen UITM Cawangan Sarawak, hari ini.

Anak bongsu daripada empat adik beradik ini menjelaskan, antara resipi kejayaannya adalah sentiasa mementingkan keberkatan ilmu serta menjaga hubungan dengan keluarga dan pensyarah.

Selain itu katanya, setiap pelajar juga perlu memahami pembelajaran selain bijak mengurus masa.

“Sekiranya kita gagal mengurus masa, secara tidak langsung kita akan gagal mengurus kehidupan,” katanya yang pernah menjalani Program Latihan Pemantapan Graduan (GETS) di salah sebuah agensi kerajaan di Sarawak.

Mengulas mengenai perancangannya selepas ini, Nur Syazwani berkata dia berhasrat untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dalam bidang perladangan serta menceburi diri dalam bidang pertanian.

Katanya lagi, melibatkan diri dalam kedua-dua sektor berkenaan merupakan impian dan cita-citanya sejak kecil.

“Saya berhasrat untuk memiliki pernigaaan sendiri dalam sektor perladangan seperti tanaman organik berkaitan pertanian.

“Malah, bapa saudara juga memiliki ladang sendiri disebabkan itu, saya berhasrat untuk memajukan ladang milik keluarga selain mempunyai ladang sendiri,” katanya.

Pencapaian cemerlang Nur Syazwani dalam bidang akademik dan kokurikulum di UiTM membolehkannya menerima Anugerah Graduan Terbaik Keseluruhan dan Anugerah Graduan Terbaik Khas Yayasan (Sarjana Muda).


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak