IBADAH KORBAN… Sekitar aktiviti Ibadah Korban yang dijalankan oleh kakitangan PUSAKA.

KOTA SAMARAHAN: Sebuah bangunan akan dibina di Kuching menggunakan produk kayu berlamina berperekat (kayu Glulam), yang sedang dibangunkan oleh Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (Pusaka) untuk industri pembinaan dan perumahan.

Pengurus Besar PUSAKA, Datu Hashim Bojet berkata projek itu akan mencontohi pembinaan bangunan menggunakan bahan kayu di Brisbane, Australia.

Katanya pada masa ini, pihaknya sedang membuat perbincangan bersama-sama arkitek dari Australia dan ia akan dibuat menggunakan bahan kayu seperti Kayu Glulam sebagai bahan utama.

“Dalam masa terdekat, kita akan bawa arkitek untuk membuat pembentangan kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Jika ia diluluskan, kita akan lihat satu bangunan dibina daripada kayu atau kayu Glulam yang pertama di Sarawak dan Malaysia,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Program Ibadah Qurban PUSAKA di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Hashim berkata Sarawak juga bakal menyaksikan pembukaan dua Taman Perabot, yang diyakini dapat membantu meningkatkan eksport perabot Sarawak di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Beliau berkata Taman Perabot itu akan dibina di Demak Laut, Kuching dan di Tanjung Manis.

“Melalui Taman Perabot ini, kami menyasarkan sumbangan tidak kurang daripada RM4 bilion dalam sasaran eksport industri perabot selain membuka jalan kepada industri untuk menjadi penyumbang utama,” katanya.

Suara Sarawak