KUCHING: Festival Makanan Kuching bukan sahaja memberi peluang kepada para pengunjung menikmati pelbagai makanan yang dijual, malah dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum.

Keharmonian tersebut dapat dilihat dengan jelas pada festival yang berlangsung sehingga 21 Ogos itu apabila ramai pengunjung tanpa mengira perbezaan memenuhi tapak festival tersebut seawal jam 6 petang.

Suara Sarawak berkesempatan menemu bual beberapa pengunjung yang hadir mengenai pandangan mereka berkenaan festival kali ini.

Menurut Mariza Chin, 42 dari Indonesia, dia sangat teruja menyertai festival kali ini kerana telah lama tidak diadakan.

“Saya datang ke Kuching sejak 27 Julai lalu hanya kerana ingin menyertai festival ini. Malah ini bukan pertama saya datang kerana sentiasa menghadirinya setiap kali festival ini dianjurkan.

Dari Kiri: Felicia Thomas, 26, Mariza Chin, Juana Deli, 26

“Makanan utama yang saya cari setiap kali datang ke sini adalah daging buaya kerana tidak menemui sajian ini di Indonesia,” katanya.

Sementara itu, Juana Deli, 26, pula berkata dia sanggup datang sehari sebelum festival diadakan kerana ingin menikmati suasana yang meriah bersama rakan-rakannya.

“Saya sangat seronok, kerana dapat melihat dengan jelas keharmonian antara kaum di Sarawak melalui acara seperti ini. Selain dapat menikmati makanan, dalam masa yang sama dapat menambah kawan,” katanya.

Manakala, Felicia Thomas, 26, pula berkata ini merupakan kali pertama mengunjungi Festival Makanan Kuching dan berjanji akan datang lagi pada masa akan datang.

“Terlalu banyak pilihan makanan sehingga saya buntu untuk membuat pilihan. Saya datang ke sini dengan dua orang rakan saya dan amat gembira meluangkan masa disini,” katanya.

 


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak