BERLEPAS… Salwa (dua kiri) mengibarkan bendera bagi memulakan pertandingan Digital Info Hunt sempena Hari Sarawak 2022.

KUCHING: Sebanyak 15 pasukan terdiri daripada 75 orang peserta mengambil bahagian dalam program Digital Info Hunt sempena Hari Sarawak 2022.

Program tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kewangan (FCS) Salwa Pauzi dengan mengibarkan bendera Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) sebagai ‘flag off’ bagi pertandingan yang diadakan.

Program Anjuran Perpustakaan DBKU ini bertujuan untuk memupuk budaya membaca dan berfikir dalam kalangan masyarakat.

Program yang bermula jam 7 pagi di Majma Mall itu dimulakan dengan semua peserta melakukan senaman ringan, diikuti pemberian taklimat ringkas dari pihak penganjur pertandingan.

Pertandingan yang diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan dari segi maklumat, sekali gus menggalakkan membaca dalam bentuk permainan agar lebih menarik.

Di samping bergembira dalam bermain, terdapat juga elemen kesihatan dari aspek fizikal kerana secara tidak langsung perlu bergerak mencari dan mendapatkan jawapan.

Hal ini kerana program tersebut menggabungkan kemahiran masyarakat untuk berfikir menerusi ujian minda, ketahanan fizikal dan pemahaman peserta dalam mentafsir dan menilai serta mencari maklumat.

Sekitar jam 12 tengah hari, semua peserta berkumpul semula di tempat permulaan untuk sesi penyampaian hadiah bagi pertandingan tersebut serta pengumuman pemenang video kreatif Tik Tok yang dianjurkan.

Untuk rekod, pemenang tempat pertama pertandingan akan membawa hadiah wang tunai sebanyak RM3,000 berserta medal, diikuti naib johan dengan hadiah berjumlah RM 2,000 berserta medal.

Manakala, tempat ketiga akan menerima wang tunai berjumlah RM1,000 berserta
medal. Hadiah bagi pertandingan video kreatif TikTok pula akan mendapat hadiah wang tunai RM300.

Dalam pada itu, ia juga bersesuaian dengan matlamat perpustakaan DBKU dalam menggalakkan budaya membaca dan berfikir dalam kalangan para peserta yang terlibat.

Peserta ketika berada di salah satu titik semakan (checkpoint)

Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak