Pihak polis ketika berada di lokasi serbuan

PADAWAN: Dua individu tempatan ditahan dalam Op Kontraband yang dijalankan di sebuah bangsal tempat penyimpanan dan pengumpulan minyak diesel di Pangkalan Baru, di sini.

Tangkapan berjaya dilakukan ketika kedua-dua suspek dalam lingkungan 20 hingga 32 tahun itu sedang melakukan pemindahan minyak diesel ke dalam lori tanker menggunakan tong plastik segi empat berwarna putih.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, Pasukan Polis Marin Wilayah Lima (PPMW5) turut melakukan rampasan termasuk sebuah kenderaan jenis Nissan.

“Selain itu, satu unit pam TP 220 Motoyama, 27 bekas tong plastik segi empat dan 18,700 liter minyak diesel turut dirampas dengan anggaran nilai keseluruhan sebanyak RM294,900,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya lagi, kedua-dua suspek juga gagal mengemukakan sebarang dokumen sah yang membenarkan mereka untuk memiliki, menyimpan atau membawa barang kawalan tersebut.

Tambahnya, mereka juga tidak memiliki sebarang permit atau kebenaran khas daripada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Kedua-dua suspek, bersama-sama barang rampasan dirujuk kepada pihak KPDNHEP untuk siasatan lanjut.

“Kes turut disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya ringkas.

Dalam pada itu, pihak polis turut menyeru orang ramai agar berkongsi maklumat berhubung penyelewengan barang terkawal seperti ini kerana perbuatan sedemikian memberi kesan kepada negara.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak