KAPIT: Dua lelaki dikhuatiri hilang setelah perahu dinaiki mereka karam di jeram Pelagus, di sini semalam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit menerima laporan berhubung kejadian daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kapit kira-kira 11.35 pagi, hari ini.

Katanya, menurut saksi, kejadian berlaku kira-kira jam 4.30 petang ketika dia bersama-sama datuknya, Ngalang Demong dan bapa saudaranya, Richelles Seli Lasu dalam perjalanan ke Rh Nanga Pelagus, Kapit untuk menjala ikan.

“Sebelum melintasi salah satu jeram di kawasan Pelagus, saksi diminta untuk turun dari perahu dan berjalan kaki mengikut laluan pejalan kaki di tebing sungai.

“Manakala datuk dan bapa saudaranya bergerak menggunakan perahu.

“Semasa melintasi jeram tersebut, saksi melihat perahu yang dinaiki mereka telah karam dan kedua-dua mangsa telah hilang,”katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa masih belum dijumpai meskipun gerakan awal mencari dan menyelamat mangsa dilakukan oleh penduduk kampung.

Katanya, pasukan penyelamat masih berada di IPD Kapit untuk taklimat bersama dengan pihak polis.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak