Keadaan Perodua Myvi yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 33 Jalan Bintulu-Miri Pan Borneo, awal pagi Khamis.

BINTULU: Dua maut manakala dua lagi cedera parah selepas dua kenderaan terlibat dalam kemalangan di Kilometer 33, Jalan Bintulu-Miri Pan Borneo, di sini, awal pagi hari ini.

Dalam kejadian pukul 1.45 pagi itu, dua mangsa Alton Anyie Bajing, 19, dan Gatian Paran Bakar, 24, meninggal dunia di tempat kejadian.

Sementara, dua lagi mangsa yang belum dikenal pasti identitinya dirawat di Hospital Bintulu kerana cedera parah.

Tiga lagi mangsa lain hanya mengalami cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Batholomew Umpit semasa mengesahkan perkara itu berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki tiga lelaki tempatan dilanggar dari arah belakang oleh kereta perodua Myvi yang dinaiki empat mangsa.

“Impak pelanggaran tersebut menyebabkan pacuan empat roda yang dari arah Kuching ke Miri terbabas ke kanan jalan arah bertentangan, manakala kereta Myvi terbabas ke kanan jalan yang sedang dalam pembinaan.

” Kedua-dua mangsa iaitu pemandu dan penumpang kereta Myvi meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian.

“Sementara pemandu dan penumpang kenderaan pacuan empat roda hanya mengalami cedera ringan,” katanya menerusi kenyataan, petang tadi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, Bartholomew meminta saksi kejadian kemalangan tersebut atau mempunyai sebarang maklumat untuk tampil dan menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Jeffery Jembol di talian 086-338575 untuk menyalurkan maklumat.

 


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak