Suspek berjaya diberkas Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuching bersama penapis air yang dirampas.

KUCHING: Polis berjaya memberkas dua orang suspek yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pecah rumah di sekitar bandar raya ini pada 13 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, dua orang lelaki warga tempatan berumur 23 dan 25 tahun itu ditangkap sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuching.

Katanya, dengan tertangkapnya dua orang suspek itu, polis berjaya menyelesaikan dua kes pecah rumah di kawasan Stutong yang dilaporkan pada bulan Jun dan Julai baru-baru ini.

“Suspek pertama yang berumur 25 tahun memiliki 14 rekod jenayah lampau manakala suspek kedua, 23, memiliki 16 rekod jenayah lampau dengan pelbagai kesalahan melibatkan dadah dan jenayah.

“Turut berjaya dirampas adalah komputer riba, mesin pengisar makanan dan penapis air jenama yang telah dilaporkan hilang dalam kedua-dua kejadian pecah rumah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, ujian saringan urin kedua-dua suspek adalah positif dadah.

“Kertas siasatan telah dibuka dan disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan 14 tahun penjara dan denda sekiranya disabitkan kesalahan,” katanya.

Suara Sarawak