Awang Sapian Awang Juini

KEAMANAN dan keharmonian negeri yang dikecapi hari ini harus dipertahankan agar Sarawak terus makmur.

Demikian mesej yang disampaikan oleh veteran polis, DSP (Bersara) Awang Sapian Awang Juini, 80, sempena sambutan Hari Sarawak, Jumaat.

Beliau merupakan penerima pingat Ahli Mangku Negara (AMN) pada 1984, Pingat Perkhidmatan Bakti (PPB) pada 1993 dan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) pada 2014.

Pernah bertugas sebagai Police Field Force (PFF) sehingga bersara pada 14 Disember 1996, kisah Awang Sapian bertempur dengan komunis selama 45 minit pernah disiarkan di akhbar ini pada Hari Malaysia tahun lalu.

Sepanjang bertugas, Awang Sapian berpangkat inspektor ketika itu pernah diserang hendap oleh komunis sebanyak tiga kali dan terselamat daripada letusan bom tangan yang dibedil oleh musuh.

“Mengenang kembali kisah semasa bertugas, kehidupan masyarakat pada era itu amat sukar apabila tidak dapat ke kebun untuk bercucuk tanam malah anak-anak tidak dapat ke sekolah kerana takut,” katanya.

Malah beliau berkata, ketika bertugas di Kem Rascom, Sibu sekitar awal 70-an, kehidupan masyarakat di rumah panjang juga terganggu kerana ancaman komunis.

“Masa dahulu dan kini memang jauh berbeza, kehidupan orang pada ketika itu amat susah. Masa itu tiada jalan raya dan menggunakan bot ke Kanowit, ke Sarikei untuk ke pos.

“Ekonomi merosot disebabkan oleh komunis. Orang hendak menoreh getah pun takut hendak keluar,” katanya kepada Suara Sarawak.

Keadaan hari ini sudah semestinya lebih baik berbanding dahulu, namun Awang Sapian berkata, masalah sosial dan teknologi yang disalah guna antara ancaman yang harus diberikan perhatian ketika ini.

Jelasnya, musuh seperti dadah merosakkan belia masa kini selain teknologi yang digunakan untuk menyebar berita palsu dan bertujuan untuk memecah belahkan masyarakat.

Justeru beliau yang juga penghulu bagi kawasan Kampung Lintang, Kampung Tunku dan Kampung Malaysia Jaya mengingatkan generasi baharu sentiasa berwaspada dan bekerjasama dengan pemimpin masyarakat bagi mengekalkan keamanan dan keselamatan kawasan setempat.

“Generasi sekarang boleh mengambil pengajaran daripada orang lama dan pengalaman itu boleh digunakan untuk menjaga keharmonian dan keselamatan negeri kerana ini sahaja negeri kita, mahu kemana lagi boleh pergi,” katanya.

Dalam pada itu, Awang Sapian memohon Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak memberi pingat peringatan kepada anggota PDRM yang berkhidmat di Kem Rascom, Sibu sejak 1972 sehingga Rascom dibubarkan pada 1995.

Jelasnya, pemberian pingat tersebut sebagai tanda penghargaan kepada perkhidmatan mereka yang dalam menghapus saki baki komunis di kawasan itu.

Selain itu, beliau turut memohon Kerajaan Sarawak untuk mewujudkan semula Muzium Polis yang mempamerkan dokumen, uniform dan senjata yang pernah diguna pakai sejak pemerintahan Brooke sehingga pembentukan Malaysia.

Katanya, Kubu Margherita sebelum ini merupakan Muzium Polis sebelum ia dijadikan Galeri Brooke.

Jelasnya, kewujudan muzium itu boleh dijadikan rujukan generasi baharu dalam PDRM serta orang awam.

AWANG Sapian menunjukkan foto yang disimpan rapi kepada wartawan Suara
Sarawak sepanjang beliau berkhidmat sebagai anggota polis sejak 1963 hingga 1996.

Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak