Abdul Wahap (tengah) dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif LAKMNS Mohd Feisal Said (dua kiri) bersama-sama yang lain ketika sidang media Festival Maal Hijrah 2022

KUCHING: Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) akan menganjurkan Festival Maal Hijrah 2022 bermula 29 hingga 31 Julai ini bertempat di Masjid Jamek Sarawak.

Ketua Pegawai Eksekutif LAKMNS Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai berkata, penganjuran festival ini merupakan salah satu inisiatif untuk menyemarakkan semangat dalam menyambut kedatangan bulan Muharram.

“Pada masa sama, penganjuran festival tersebut akan berkonsepkan program berilmu (infotainment), bagi mencapai objektif yang disasarkan melibatkan pelbagai lapisan masyarakat.

“Selain dapat menyampaikan ilmu berhubung tahun baharu Islam, kita juga dapat menyemarakkan sambutan tersebut, di samping mengimarahkan masjid serta menjadikan ia sebagai institusi untuk beriadah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Festival Maal Hijrah 1444H/2022M di Bilik Seminar Baitul Makmur II, di sini, hari ini.

Beliau dalam masa yang sama turut menyeru orang ramai agar turut serta memeriahkan lagi program kerana pelbagai pengisian disediakan dalam festival yang akan diadakan selama tiga hari itu.

“Festival tersebut tidak tertumpu kepada pelaksanaan ibadah sahaja, tetapi melangkaui aspek pendidikan, sosial, ekonomi, kesihatan serta aspek-aspek lain yang menjurus kepada kesejahteraan ummah,” katanya.

Orang ramai yang berminat boleh melayari laman web fmh2022.com untuk mengetahui lebih lanjut berhubung program tersebut.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak