Mohd Azman (dua kanan), Mancha (tiga kanan), Lukas (kiri) dan Ahsmon (kanan) menunjukkan salah sebuah kereta yang dirampas daripada Geng Wan Kurus selepas sidang media di IPD Kuching, hari ini.

KUCHING: Polis Sarawak berjaya menumpaskan satu sindiket curi kenderaan dikenali sebagai Geng Wan Kurus, yang aktif sejak November tahun lepas.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata kejayaan itu hasil Op Lejang yang dijalankan oleh pasukan khas dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching, menerusi serbuan di kawasan Sungai Maong pada 27 Jun lalu.

“Dalam serbuan itu telah berjaya menangkap lima lelaki warga tempatan berusia dalam lingkungan 36 hingga 40 tahun dan juga membuat rampasan tujuh buah motosikal dan tiga buah kereta.

“Hasil tangkapan itu, pihak polis berjaya menyelesaikan 15 kes curi motosikal dan tiga kes kecurian kereta,” katanya dalam sidang media di IPD Kuching, hari ini.

Hadir sama Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah IPK Sarawak SAC Lukas Akit dan Ketua Polis Daerah Kuching Ahsmon Bajah.

Mohd Azman (kanan), Mancha (dua kanan), Lukas (dua kiri) dan Ahsmon (tiga kanan) melihat menunjukkan motosikal-motosikal yang dirampas daripada Geng Wan Kurus selepas sidang media di IPD Kuching, hari ini.

Menurutnya, kumpulan terbabit dianggotai oleh sembilan individu termasuk warga asing.

Mohd Azman berkata modus operandi sindiket mensasarkan lokasi sekitar bandar raya Kuching dan kawasan perumahan di Padawan.

“Kumpulan ini mensasarkan motosikal jenama Yamaha dan kereta jenis Proton Wira yang mempunyai permintaan tinggi di negara jiran.

“Sindiket menggunakan alat pemutar skru yang telah diubah suai berbentuk ‘T’ dan satu ‘master key’ serta beberapa perkakas yang lain untuk mencuri kenderaan,” katanya.

Beliau berkata jumlah kerugian oleh sindiket itu dianggarkan RM150,000.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi tujuh tahun dan juga hendaklah dikenakan denda.

Tambahnya kes turut disiasat mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara 10 tahun serta sebatan jika disabitkan kesalahan.

Mohd Azman (dua kiri), Mancha (tiga kiri), Lukas (empat kiri) dan Ahsmon (kiri) menunjukkan peralatan dan senjata yang dirampas daripada Geng Wan Kurus selepas sidang media di IPD Kuching, hari ini.

Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak