BINTULU : Seorang guru wanita terpaksa menanggung kerugian berjumlah RM284,800 akibat diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai ejen insurans.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintendan Batholomew Umpit berkata, kejadian bermula 14 Januari lalu apabila mangsa berusia 42 tahun menerima panggilan telefon daripada seorang individu yang tidak dikenali daripada Etiqa Insurans yang mendakwa mangsa ada membuat tuntutan insuran kemalangan sebanyak RM68,000.

SUPERINTENDAN BARTHOLOMEW UMPIT…

“Mangsa telah dimaklumkan kononnya pengadu terlibat dengan jenayah penggubahan wang haram yang mana nama mangsa telah digunakan untuk membuka 25 akaun bank dan salah satunya telah dibekukan.

“Untuk menyelesaikan masalah tersebut, mangsa d berurusan dengan individu yang menyamar sebagai pendakwa raya dan pegawai bawahannya.

“Suspek berjanji akan membantu mangsa membersihkan namanya dengan syarat mangsa menurut segala arahan suspek,” ujarnya menerusi satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang terpedaya dengan helah itu menuruti arahan suspek untuk membuka akaun Bank Rakyat dan menukar kad ATM serta membeli nombor telefon baharu bagi kegunaan pendaftaran pada akaun bank tersebut.

“Mangsa juga diarahkan untuk memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun tersebut,” ujarnya.

Tidak cukup dengan itu, mangsa juga telah mengeluarkan wang simpanan dari akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) dang memindahkannya ke dalam akaun Bank Rakyat.

“Mangsa juga telah diarahkan membuat pinjaman peribadi dengan dua bank berlainan dan kemudiannya memindahkan wang tersebut ke akaun Bank Rakyat mangsa, katanya.

Selain itu, menurut Bartholomew lagi, mangsa juga diarahkan untuk menggadai emas miliknya dan memasukkan hasil gadaian  emas tersebut ke dalam akaun Bank Rakyatnya.

Bagaimanapun, mangsa tidak dibenarkan membuat semakan pada akaun bank tersebut dengan alasan akan mengganggu proses pembersihan nama mangsa.

Katanya, mangsa hanya menyedari ditipu setelah menerima surat pemakluman daripada  pihak Bank Rakyat yang menyatakan bahawa akaun mangsa dibekukan kerana disyaki terlibat dengan aktiviti yang mencurigakan.

“Pada 15 Julai lalu, mangsa telah pergi ke Bank Rakyat Cawangan Bintulu untuk membuat semakan sebelum mendapati baki akaunnya hanya berbaki RM72.43.

“Mangsa mendapati kesemua wang berjumlah RM284,800 yang dipindahkan ke dalam akaun bank tersebut sebelum ini, telah dipindahkan ke beberapa akaun  lain yang tidak dikenali.

“Malah, mangsa juga mendapati antara Januari hingga Julai tahun ini, terdapat juga beberapa kemasukan wang ke dalam akaun mangsa dari akaun yang tidak dikenali dan kemudiannya, dipindah keluar semula,”katanya lagi.

Bartholomew berkata, laporan kes itu telah diterima pada Jumaat lalu(15 Julai).

Polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan mendedahkan maklumat perbankan kepada mana-mana pihak, katanya.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak