BINTULU: Seorang guru wanita terpaksa menanggung kerugian berjumlah RM142,000 selepas menjadi mangsa penipuan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintendan Batholomew Umpit berkata, kejadian berlaku pada 15 Jun lalu ketika mangsa yang berusia 25 tahun  menerima panggilan daripada seorang individu lelaki yang memperkenalkan diri dari bahagian cukai LHDN.

Beliau berkata, mangsa telah diberitahu mempunyai tunggakan cukai syarikat yang didaftarkan atas nama mangsa berjumlah RM59,000 dan panggilan telefon kemudiannya, disambungkan kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka untuk membolehkan mangsa membuat penafian.

“Mangsa telah bercakap dengan seorang lelaki yang menyamar sebagai anggota polis dan telah dimaklumkan terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah dan penggubalan wang haram serta menerima wang komisen berjumlah RM228,000.

“Kemudian mangsa dimaklumkan akan  dihubungkan dengan seorang pegawai kanan polis berpangkat ‘Dato’ ,” katanya.

Bartholomew  memberitahu, mangsa juga telah diarahkan untuk membuat pinjaman peribadi sebanyak RM200,000 bagi membuktikan tiada dana haram masuk ke akaun simpanan mangsa.

Jelasnya lagi, pada 23 Jun lalu, mangsa telah  membuat pinjaman berjumlah RM200,000 dan membuka akaun di salah sebuah bank di sini.

“Kemudian mangsa telah memuat turun aplikasi Bank Negara Malaysia (BNM) melalui pautan yang diberikan saspek yang dihantar menerusi whatsapp dan mengisi maklumat pengesahan diri, kata laluan, nombor kad ATM, nombor CCV, nombor kad pengenalan serta frasa keselamatan perbankan dalam talian(online) mangsa di dalam aplikasi tersebut,” tambahnya lagi.

Menurutnya lagi, mangsa hanya menyedari telah ditipu setelah dimaklumkan oleh suaminya dan   menyedari apabila membuat semakan perbankan miliknya dan mendapati wang berjumlah RM142,000 telah dipindahkan ke dua akaun individu yang tidak dikenali menerusi enam transaksi pada 27 dan 28 Jun lalu.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak