KUALA LUMPUR: Malaysia Techlympics 2022 merupakan sebuah program yang berlangsung di seluruh negara, anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). Acara sains, teknologi dan inovasi ini dibentuk untuk melahirkan generasi pemikir baharu, sambil memupuk kesedaran, mencungkil minat dan menyemarakkan idea dalam bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI). 

Antara lain Techlympics bertujuan untuk menarik minat lebih ramai pelajar dari usia muda, di samping membudayakan pemikiran kreatif dan menyemai nilai keusahawanan dalam kalangan pelajar.

Adham Baba (3 dari kanan) mendengar pengajar tentang cara robot dapat diprogram berfungsi.

Pelbagai aktiviti diusahakan dari sekarang hingga November, termasuk pertandingan yang menawarkan hadiah bernilai sehingga RM500,000. Malaysia Techlympics 2022 dijangka menarik hampir sejuta pelajar dan belia dalam lingkungan tujuh hingga 30 tahun. Kini, 620,000 peserta telah mendaftar diri dalam aktiviti pembelajaran STI secara tidak formal – termasuk bengkel, webinar, permainan, makmal pembuatan, pertandingan, kuiz dan pameran. Aktiviti-aktiviti di Malaysia Techlympics 2022 digubal untuk meningkatkan kemahiran saintifik, sekaligus membolehkan generasi belia mengukuhkan kemahiran komunikasi, kerjasama, pemikiran kritis dan kreativiti.

Malaysia Techlympics 2022 menyediakan 25 pertandingan dan meliputi 10 bidang utama yang akan mendedahkan para pelajar dan belia kepada teknik pembelajaran berasaskan soalan pertanyaan dalam bidang Sains, Kejuruteraan, Pengkomputeran & Pengkomputeran Mikro, Internet Pelbagai Benda (IOT), Robotik, Dron, Matematik, Reka Bentuk & Animasi Kreatif, dan Pencetakan & Pembangunan 3D.

Program Techlympics direka bentuk dan bersifat inklusif – dan menyambut penyertaan kumpulan pelajar – samada pakar atau permulaan, dalam bidang STI.

Ia meliputi lima tema berkaitan kepintaran buatan dan data sains, eksplorasi angkasa, dron dan aplikasi, teknologi terkenal serta inovasi bagi kesedaran umum, dan kelestarian alam sekitar. Antara acara menarik yang akan diadakan adalah Kuiz Sains Superstar, sesi tutorial pengangkutan masa depan, webinar tentang teknologi masa depan, sains penerbangan atau reka cipta animasi AR/VR.

Malaysia Techlympics berharap dapat meneroka minat dan penyelidikan anak muda dalam sains melalui pertandingan.

Bagi tema kepintaran buatan dan data sains, sebanyak lima pertandingan melibatkan belia, inovasi teknologi, data sains, pemikiran komputasi kanak-kanak dan pertandingan kecerdasan dan kepintaran terbuka.

Bagi tema ekplorasi angkasa pula, sebanyak tiga pertandingan diadakan seperti pertandingan inovasi angkasa, cabaran pangkalan angkasa dan cabaran cubesat.

Selain itu, tiga pertandingan di bawah tema dron dan aplikasi diadakan iaitu drone terbang, kejuruteraan kenderaan udara tanpa pemandu dan inovasi dron.

Teknologi dan pembangunan dron juga merupakan salah satu tema pertandingan.

Bagi tema teknologi tersohor pula, para peserta akan berdepan dengan tujuh pertandingan antaranya cabaran kuiz, video kreatif, minecraft, kemahiran matematik, TikTok tiga minit, pengekodan FC 1 terpantas dan cabaran kenderaan masa depan.

Selain itu, melalui program ini juga, para pelajar dapat bekerjasama dari awal atas platform untuk pendekatan STI bersepadu, dalam memastikan konsep saintifik dapat dikaitkan dengan kehidupan seharian diterap. Ini turut membolehkan pelajar menambahbaik tugasan amali saintifik, dan kami berharap agar mereka dapat meningkatkan keyakinan dan penguasaan ilmu sains.

Pertandingan ini menggalakkan pelajar merealisasikan idea inovatif mereka dan menggalakkan keusahawanan.

Menurut kajian, minat dan penghayatan pelajar Malaysia terhadap bidang sains adalah tinggi selama ini, tetapi mereka mempunyai keyakinan yang sangat rendah terhadap subjek tersebut, yang telah menjadikan penguasaan mereka menurun secara drastik sejak beberapa tahun lepas. Oleh itu, Malaysia Techlympics 2022 merupakan antara usaha berterusan MOSTI untuk membudayakan sains, teknologi dan inovasi dalam semua lapisan masyarakat.

Kemahiran STI adalah penting dalam membangunkan bakat-bakat yang akan menyokong pertumbuhan ekonomi teknologi tinggi masa depan, khasnya dalam membentuk kemahiran berfikir aras tinggi, sekaligus melahirkan generasi yang mampu menyelesaikan permasalahan.  Ini termasuk idea untuk mencapai penyelesaian pemulihan pasca Covid-19, alam persekitaran dan perubahan iklim, kesihatan dan kesejahtaan, perkara besar seterusnya, pekerjaan, ketersambungan dan mobiliti, sekuriti dan kelestarian makanan, teknologi dan inovasi.

STI ialah cara penting untuk membangunkan bakat berkemahiran tinggi untuk menyokong pertumbuhan ekonomi berteknologi tinggi pada masa hadapan.

Malaysia Techlympics 2022 menyasar penciptaan 2,000 idea yang bakal dikomersialkan.

Para guru, ibu bapa, pelajar dan belia dijemput untuk mendaftar sebelum 15 Julai 2022 untuk mengambil bahagian dalam aktiviti Malaysia Techlympics 2022 melalui laman sesawang www.techlympics.my 


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak