Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi semasa mengadakan lawatan ke Chan Era (M) Sdn Bhd di Sibu hari ini.

 

KUCHING: Harga minyak masak botol di peringkat peruncit kini mula merekodkan penyusutan, susulan penurunan harga minyak masak mentah (CPO) di pasaran sehingga mencecah paras RM3,814 semalam, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Menurutnya, kali terakhir paras rendah sebegitu direkodkan pada Julai 2021, manakala kadar tertinggi menjangkau RM8,076 dicatatkan pada Mac tahun ini.

“Dalam lawatan ke premis pemborong, Chan Era (M) Sdn Bhd di Sibu hari ini, pengusaha memaklumkan bahawa minyak masak tulen kemasan botol 5kg sudah dijual pada harga RM39 di peringkat peruncit, berbanding RM45 pada bulan lalu.

“Pengurangan harga sebanyak 13 peratus ini adalah hanya permulaan, memandangkan unjuran pasaran menunjukkan pola penyusutan harga berikutan kesan CPO akan terus berlaku,” katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas mengadakan lawatan ke Syarikat Pemborong Chan Era (M) Sdn. Bhd. dan Petronas Dagangan Berhad di Sibu, hari ini.

Alexander berkata mengikut simulasi KPDNHEP sebelum ini, kadar CPO semasa (RM3,814.50) sepatutnya menyebabkan harga minyak masak botol 5kg dipasarkan di peringkat peruncit sekitar RM30.65.

Bagaimanapun, katanya kesan langsung daripada pola penurunan harga CPO dilihat berlaku amat perlahan.

Sehubungan itu, beliau berkata Jawatankuasa Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi memberi penegasan kepada industri supaya sebarang penyusutan harga CPO wajar memberi kesan langsung kepada harga minyak masak botol di peringkat peruncit.

“Jangan ada pihak yang cuba melengahkan perubahan harga mengikut CPO ini, dengan alasan kerana nak menghabiskan stok bekalan lama,” katanya.

Dalam pada itu, Alexander berkata berdasarkan libat urus bersama Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC), usaha untuk menukar penetapan harga pembelian buah tandan segar (BTS) mengikut mingguan, berbanding bulanan ketika ini giat dijalankan.

Katanya menerusi usaha itu, sebarang kesan langsung harga dapat dilihat dalam purata seminggu hingga seminggu setengah, berbanding dua hingga dua bulan setengah sekarang.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak