TERUJA…Thomas ceria merakam kenangan bersama bandera Sarawak.

SIBU: Sambutan Hari Sarawak di Stadium Tertutup Sibu malam ini sangat meriah dan penuh warna-warni dengan kehadiran pelbagai lapisan masyarakat yang memakai busana kebangsaan.

Orang ramai daripada pelbagai kaum dan agama mula membanjiri stadium seawal jam 6 petang untuk bersama-sama barisan kepimpinan Sarawak meraikan hari yang penuh bermakna ini.

Teruja untuk menyaksikan sambutan penuh bersejarah itu, Thomas Luke, 18, berasal dari United Kingdom (UK) menzahirkan perasaan kagum dengan kemeriahan sambutan yang diadakan di sini.

“Ini amat menakjubkan dan menarik kerana saya dapat melihat serta mempelajari budayadan sejarah masyarakat Sarawak.

“Sudah tentu saya akan mencadangkan kepada rakan-rakan di UK untuk datang ke sini untuk mereka mengalami sendiri keunikkan yang terdapat di sini,” katanya ketika ditemui di Stadium Tertutup Sibu, hari ini.

Sementara itu, menurut Siti Hajijah Ahamad, 44, sebagai anak jati Sibu, dia berasa bangga kerana sambutan bersejarah itu pertama kali diadakan di bahagian tersebut.

Siti Hajijah Ahamad.

“Ia merupakan hari yang dinanti-nantikan penduduk Sibu. Malah sambutan ini wajar dilaksanakan untuk menjadi platform kepada rakyat khususnya golongan belia untuk mengenali sejarah Sarawak serta menghargai pengorbanan pejuang-pejuang terdahulu,” katanya.

Bagi salah seorang penari yang terlibat dalam persembahan, Sharifah Nur Najihah, 23, berharap agar penonton dapat memahami mesej dan pengajaran yang disampaikan menerusi persembahan tarian mereka.

“Kumpulan kami, Petra Dancers telah menjalankan latihan hampir sebulan sehingga ke saat-saat akhir supaya dapat memberikan persembahan terbaik kepada orang ramai.

MERIAH…Sekitar kemeriahan sambutan Hari Sarawak di Stadium Tertutup Sibu malam ini.

“Diharapkan penonton dapat memahami semangat patriotisme yang kami sampaikan menerusi seni persembahan malam ini,” katanya.

 

Sharifah Nur Najihah.

 


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak