Sebuah lori ditahan polis trafik IPD Miri dalam operasi khas 30 Jun lalu.

MIRI: Dua keping saman dan satu notis kompaun dikeluarkan terhadap lori muatan berat yang melalui kawasan perumahan di sini, pada 30 Jun lalu.

Datuk Bandar Miri Adam Yii Siew Sang berkata, difahamkan berlaku kemalangan maut beberapa hari lalu di sebuah kawasan perumahan membabitkan sebuah lori dan motosikal.

Justeru katanya, operasi khas dijalankan oleh Majlis Bandaraya Miri (MBM) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri di Taman Tunku, Lorong Interhill di Riam dan Jalan Cahaya di Lopeng terhadap kenderaan muatan berat.

“Dua keping saman telah dikeluarkan oleh pihak polis disebabkan oleh keadaan lori yang mendatangkan bahaya kepada keselamatan jalan raya.

“Satu lagi notis kompaun dikeluarkan oleh pasukan penguat kuasa MBM kerana menyebabkan jalan dan persekitaran berhampiran berdebu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tegasnya, MBM bersama lain-lain agensi penguat kuasa seperti IPD Miri, Jabatan Pengangkutan Jalan Miri, Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan Cawangan Miri dan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB) Miri akan terus menjalankan pemeriksaan atas pelbagai kesalahan lalu lintas.

Beliau berkata, ia termasuk permit sah untuk kenderaan berat yang memasuki dan bergerak di jalan perumahan, dipandu laju dan memandu secara melulu tanpa menghirau keselamatan orang lalu.

Selain itu katanya, pemeriksaan juga dijalankan terhadap kenderaan berat yang merosakkan jalan perumahan serta menyebabkan persekitaran kawasan kediaman berdebu.

Penguat kuasa Majlis Bandaraya Miri (MBM) mengeluarkan notis kompaun terhadap pemaju perumahan yang beroperasi menyebabkan jalan dan kawasan kediaman sekitar berdebu.

Suara Sarawak