KUCHING : Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak telah menghulurkan bantuan awal bagi membantu 680 mangsa yang terjejas dalam kebakaran di Rumah Panjang Uma Sambop, Belaga.

Pengarah JKM Sarawak Noriah Ahmad berkata, bantuan awal yang disalurkan itu berbentuk makanan termasuk makanan bungkus dan kering selain roti biskut, air kotak dan minuman.

Kesemua bantuan itu katanya, sudah dihantar petugas Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian (PKMB) Kapit dan Bintulu ke Belaga, pada jam 9 pagi tadi.

“Bantuan lain pula akan disalurkan setelah pihak kita menerima siasatan yang lengkap,” katanya ketika dihubungi.

Dalam kejadian itu, rumah Panjang Uma Sambop yang mempunyai 86 pintu musnah dalam kebakaran menyebabkan seramai 680 penghuninya hilang tempat berteduh.

Bagaimanapun kesemua mangsa dilaporkan terselamat dalam insiden kira-kira jam 3.30 petang Selasa itu.

Mangsa sempat keluar daripada rumah terbabit namun gagal menyelamatkan harta benda mereka.

Noriah berkata, JKM menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 4 petang semalam sebelum menghantar bantuan segera bagi membantu meringankan beban mangsa.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak