KUCHING: Berani mencabar diri untuk turut beraksi di pentas Miss Universe Malaysia, Joann Tiong Hau Ping mengakui beliau ingin menjadi inspirasi kepada golongan muda di luar sana.

Gadis berusia 21 tahun, tinggi 166 sentimeter ini berkata, meskipun masih lagi bergelar mahasiswa, ia bukan penghalang untuknya mencapai impian sebagai salah seorang finalis Miss Universe Malaysia.

“Saya merupakan pelajar sarjana muda jurusan Komputer Sains dan Psikologi di Universiti St Andrews di United Kingdom.

“Sebelum ini, saya memang selalu melihat perkembangan pertandingan Miss Universe Malaysia dan berhasrat menjadi salah satu peserta pertandingan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual Suara Sarawak di The Round Tower 1886 Cafe & Restaurant di sini, kelmarin.

Selain memasang impian besar untuk menjadi aspirasi kepada golongan muda, gadis anak jati Kuching ini turut berhasrat meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai Hak Kanak-kanak dan pemerkasaan golongan golongan belia di peringkat tertinggi.

Baginya, kanak-kanak merupakan aset penting untuk masa depan negara dan layak untuk dibimbing dan dijaga sebagai generasi penerus pada masa akan datang.

“Saya sangat teruja untuk mengetengahkan kepentingan kedua-dua golongan ini kerana ramai yang kurang mengambil berat tentang peranan mereka kepada masyarakat,” katanya.

Mengenai golongan belia pula, Joann menjelaskan, masyarakat perlu mengubah persepsi terhadap golongan muda kerana mereka juga mampu menyumbang kepada masyarakat.

“Contohnya, saya sendiri yang kini melakukan sesuatu luar biasa dalam bidang pengajian yang saya ceburi, meskipun agak sukar.

“Ini mendorong saya untuk bersifat lebih proaktif mendedahkan tentang kelebihan dan kekuatan golongan belia yang perlu diketahui ,” katanya lagi.

Menurut Joann, belia perlu mempunyai keberanian untuk mengambil langkah pertama dalam mempercayai diri sendiri untuk mencapai matlamat dan impian dalam kehidupan mereka.

“Jangan sekali-kali menyerah kepada persekitaran yang seolah-olah menghalang anda daripada mencapai kehidupan yang sepatutnya.

“Ini kerana semua perkara yang dilakukan tersebut akhirnya tidak mustahil suatu hari nanti apabila kita percaya kepada diri sendiri,” katanya lagi.

Gadis muda yang mudah didekati ini, bukan sahaja berjaya menonjolkan keperibadiannya yang cantik di luaran bukan malah juga dalaman.

“Bagi saya, belia, perlu mengubah pola minda dan kepercayaan bahawa mereka amat berbaloi dan mempunyai kebolehan untuk melakukan perkara yang hebat untuk masyarakat.

“Apa yang paling penting membina keyakinan diri untuk tampil menyerlah dalam kalangan usia masyarakat yang dipercayai,” katanya lagi.

Menurut Joann, anak muda sekarang perlu tahu tentang bertanggungjawab terhadap kehidupan sendiri agar dapat berdiri di atas kaki sendiri demi mengubah nasib keluarga.

Ditanyakan mengenai citacitanya, sambil tersenyum Joann berkongsi mengenai minatnya dalam bidang perniagaan dan berhasrat menjadi usahawan wanita terkenal suatu hari nanti.

“Saya menjadikan ibu sebagai sumber inspirasi kerana ibu mengusahakan perniagaan sendiri.

Kekuatannya jadi pendorong kepada saya,” katanya lagi.

Joann pernah menjalankan perniagaan biskut secara kecil-kecilan yang digelar Beverly Bake bersama-sama kawan baiknya, sepanjang pandemik Covid-19 yang melanda negara dua tahun lepas.

Bercerita mengenai penyertaannya dalam pertandingan Miss Universe, Joann berkata, bermula dengan mendekati akaun rasmi laman Instagram program tersebut sebelumnya

“Banyak maklumat yang dikongsikan mengenai pencarian dan syarat untuk menyertai pertandingan Miss Universe di situ.

“Pada masa itu saya masih lagi di Kuching dan dalam proses membuat visa pulang semula ke United Kingdom untuk menyambung pengajian.

Saya tertarik untuk mengikutinya, kerana melihat ia merupakan satu platform yang baik untuk saya menyebarkan kesedaran dan kebaikan kepada orang ramai,” katanya lagi.

Menurut Joann, memberi sumbangan dan membuat perubahan dalam hidup kanak-kanak merupakan impian terbesarnya selama ini.

“Melihat kanak-kanak gembira dan dihargai satu pengalaman ajaib dan lebih banyak acara advokasi yang akan saya lakukan selepas ini,” katanya lagi.

Mengenai pendapatnya tentang warisan budaya, gadis tinggi lampai juga menasihati agar semua orang terus mengekalkan budaya tradisi mahupun harta warisan peninggalan menek moyang terdahulu untuk terus dipelihara.

Katanya, generasi muda pada masa kini bukan sahaja perlu menjaga warisan budaya tersebut malah perlu menghargainya.

Akhir kata, Joann beliau berharap agar dirinya dapat bekerja dan menyumbang lebih banyak dana kepada kanak-kanak miskin dan juga mangsa dera di negara ini.

Selain itu, beliau turut berhasrat untuk mempengaruhi ramai golongan wanita muda lain untuk mengejar impian mereka tanpa mengira stereotaip.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak