PERARAKAN… perarakan kontijen sempena sambutan Sambutan Maal Hijrah 2022/1444H, di Kuching, hari ini. (Foto: RAMIDI)

KUCHING: Kampung Tabuan Melayu dekat sini dijangka bakal mempunyai pusat tahfiz dan madrasah sebagai usaha untuk merancakkan lagi aktiviti keagamaan dan pemantapan rohani dalam kalangan penduduk.

Adun Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni berkata, perkara tersebut juga sesuai dengan penghijrahan masyarakat dalam pelbagai aspek.

“Selain daripada program sambutan Maal Hijrah hari ini, kita turut melancarkan pelbagai program kerohanian khas untuk kawasan Tabuan Melayu kerana kita perlu berhijrah dari segi pemikiran, cara kepimpinan, menguruskan kampung dan sebagainya.

“Terdapat juga program susulan yang lain seperti ceramah agama, pameran daripada agensi berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Maal Hijrah 2022/1444H peringkat Dun Demak Laut di Surau Darul Hajat, Kampung Tabuan Selipar Putus Cemerlang (SPC) dekat sini, hari ini.

Mengenai program tersebut, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar itu memberitahu program tersebut mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan penduduk termasuk golongan belia.

“Sambutan kali ini sangat baik, banyak belia yang turut serta tetapi hanya 300 peserta melibatkan sembilan kontijen dibenarkan bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Penglibatan masyarakat ini merupakan semangat baharu penduduk di Tabuan Melayu,” ujarnya.

Program tersebut turut menyaksikan perarakan kontinjen dengan jarak kira-kira 2 kilometer iaitu bermula dari Kampung Tabuan Dani hingga Kampung Tabuan SPC.

BERCAKAP… Dr Hazland bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Maal Hijrah Dun Demak Laut di Surau Darul Hajat, Kampung Tabuan Selipar Putus Cemerlang (SPC) di Kuching, hari ini. (Foto: RAMIDI)

Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak