Wakil Khas Adun Gedong Datuk Mohd Naroden Majais (tengah) bergambar bersama kakitangan Universiti Swinburne Sarawak selepas mengadakan lawatan ke Universiti itu

GEDONG: Rancangan Kerajaan Sarawak untuk membangunkan makmal penyelidikan pertanian sekali gus menjadikannya sebagai kampus satelit di daerah Gedong bakal menjadi kenyataan.

Wakil Khas Adun Gedong Datuk Mohd Naroden Majais berkata, pihaknya telah mengadakan lawatan ke Universiti Swinburne bagi membincangkan potensi pembangunan pertanian moden di kawasan itu.

Dalam sesi dialog bersama Timbalan Pro Canselor Universiti Swinburne Sarawak, Profesor Ir Lau Hieng Ho, Naroden berkata pihaknya bersetuju untuk membangunkan makmal penyelidikan dan pembangunan (R&D).

“Sesi dialog itu turut mencadangkan agar makmal yang akan ditubuhkan itu turut dijadikan sebagai kampus cawangan atau satelit.

“Kampus tersebut akan memberi tumpuan kepada R&D, rumah hijau, model pertanian dan pertanian komersial serta menuntut kolaborasi antara penduduk kawasan khususnya belia,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai pertanian komersial, beliau berkata ia akan memberi impak kepada sosio ekonomi tempatan sekali gus meningkatkan pendapatan kepada pemilik tanah.

Antara tanaman yang diberi perhatian termasuk padi biris, cili, pisang, tomato, avokado dan lada.

Sebelum ini, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mencadangkan agar sebuah makmal dibangunkan di Gedong yang turut melibatkan kerjasama dengan Universiti Swinburne Sarawak.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak