KUCHING: Kadar keganasan rumah tangga di Sarawak menunjukkan trend penurunan sebanyak 46 peratus kepada 292 kes setakat Jun tahun ini, berbanding 630 kes untuk tempoh yang sama pada 2021.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Sri Fatimah Abdullah berkata, ia sekali gus penurunan sebanyak 338 kes berdasarkan laporan Jabatan Siasatan Jenayah (D11) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak.

“Daripada 292 kes yang direkodkan, seramai 10 orang atau 3.4 peratus merupakan mangsa di bawah umur 18 tahun,” katanya dalam ucapan Perasmian Latihan Petugas Barisan Hadapan Keganasan Rumah Tangga di sini, hari ini.

Menurutnya, untuk tempoh yang sama, sebanyak 76 peratus atau 222 kes keganasan rumah tangga adalah berpunca daripada penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang.

“Diikuti punca-punca lain seperti panas baran (8.6 peratus atau 25 kes), mabuk dan curang (4.5 peratus atau 13 kes), penceraian (3.4 peratus atau 10 kes), salah faham dan mental (1 peratus atau 3 kes), masalah kewangan (0.7 peratus atau 2 kes) dan cemburu (0.3 peratus atau 1 kes),” ujarnya.

Sementara itu katanya, kadar keganasan 630 kes pada 2021 menunjukkan trend peningkatan sebanyak 22.9 peratus atau 144 kes berbanding 486 kes pada tahun 2018 dengan 26 orang mangsa berumur bawah 18 tahun.

Beliau turut menggesa mangsa-mangsa keganasan khususnya wanita untuk tampil ke hadapan dan membuang stigma perasaan malu kerana masalah tersebut harus ditangani bersama.

Sehubungan itu, mereka yang menghadapi masalah seperti itu boleh menghubungi talian JWKS (082-448866/1800-22-5566), Persatuan Kesihatan Mental Kuching (082-231459), Pertubuhan Wanita Untuk Wanita Sarawak (082-422660), Befrienders Kuching (082-242800), Bodhi Counselling (082-256428/082-256429 ) atau Grace Centre Kuching (082-256411).


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak