Junaidi (empat kiri) menyerahkan Projek Pengindahan Bulatan Datuk Menteri Abang Haji Mohammad Zin Bin Haji Salleh kepada Mohamad Khaidir (dua kiri), disaksikan Abdul Rahman (tengah) dan lain-lain.

 

Abdul Rahman (lima kiri), Mohamad Khaidir (empat kiri) dan Ir. Junaidi (enam kiri) bersama-sama yang lain ketika melawat Bulatan Datuk Menteri Abang Haji Mohammad Zin Bin Haji Salleh

KUCHING: Bulatan-bulatan di bawah seliaan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) akan diindahkan landskapnya, menerusi projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh syarikat-syarikat korporat.

Demikian kata Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Datuk Abdul Rahman Junaidi yang mendedahkan setakat ini, pengindahan landskap di Bulatan Datuk Menteri Abang Haji Mohammad Zin Bin Haji Salleh sudah siap dilaksanakan.

“Bulatan ini berjaya disiapkan oleh Maltimur Resources Sdn Bhd dengan kerjasama pihak DBKU dalam tempoh empat bulan bermula Disember 2021 dan siap pada Mac tahun ini dengan kos perbelanjaan mencecah RM500,000.

“Komponen utama projek pengindahan ini adalah menyiapkan replika bunga alamanda di tengah-tengah bulatan tersebut, dihiasi bunga-bunga lain serta papan tanda ‘Kuching Bandaraya Perpaduan’ dan ‘We Love Kuching’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek Pengindahan Bulatan Datuk Menteri Abang Haji Mohammad Zin Bin Haji Salleh, di Halaman DBKU, di sini, hari ini.

Tambahnya, projek seumpama ini akan meningkatkan keindahan landskap dan mengindahkan jalan raya serta taman-taman yang ada.

“Oleh itu, saya mencadangkan agar pihak DBKU menjemput lebih banyak badan korporat di Sarawak seperti Sarawak Energy Berhad dan beberapa syarikat besar yang lain untuk turut sama mengambil bahagian dalam projek seperti ini,” katanya.

Ujarnya, ini adalah usaha jangka panjang untuk meningkatkan lagi keindahan landskap di sekitar kawasan Bandaraya Kuching, selaras dengan slogan DBKU iaitu menjadikan bandaraya ini cantik, bersih dan selamat.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak