ANUGERAH KHAS… Dr. Roziah (kiri) menyampaikan anugerah khas kepada Nur Syazwani Redi yang juga merupakan penerima Anugerah Graduan Terbaik Keseluruhan dan Anugerah Graduan Terbaik Khas Yayasan (Sarjana Muda) pada Majlis Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-93 (UiTM Cawangan Sarawak) sidang pertama di Dewan Jubli, Kampus Samarahan, hari ini. (F: Ghazali)

KOTA SAMARAHAN: Majlis Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) Ke-93 bagi Cawangan Sarawak menyaksikan seramai 1,663 siswazah menerima Ijazah Sarjana Muda dan Diploma dalam pelbagai bidang.

Konvokesyen kali ini melibatkan siswazah yang telah tamat pengajian pada Sesi 1 2019/2020 iaitu mereka yang menduduki peperiksaan akhir Disember 2019/Januari 2020.

Majlis akan berlangsung dalam lima sidang iaitu bermula pada 4 hingga 6 Julai di Dewan Jubli UiTM Cawangan Sarawak, Kampus Samarahan.

Naib Canselor UiTM Datuk Ts. Dr. Roziah Mohd Janor berkata sidang pertama istiadat konvokesyen hari ini menyaksikan seramai 389 orang siswazah dari Fakulti Pengurusan dan Perniagaan dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda dengan kepujian dan Diploma masing-masing.

“Penganugerahan itu juga melibatkan tujuh program iaitu empat daripadanya adalah Ijazah Sarjana Muda – Sarjana Muda Pengurusan Sistem Pejabat, Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kewangan), Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Pemasaran), dan Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Perniagaan Antarabangsa).

“Manakala tiga program Diploma pula adalah Diploma Pengajian Perniagaan, Diploma Pengurusan dan Teknologi Pejabat, dan Diploma Pengajian Perbankan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap bagi menyempurnakan Majlis Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-93 (UiTM Cawangan Sarawak) sidang pertama di Dewan Jubli, Kampus Samarahan, hari ini.

Suara Sarawak