KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak telah berjaya mengesan aktiviti penjualan minyak petrol bersubsidi kepada kenderaan asing di sebuah stesen minyak yang tular di salah satu media sosial popular di Kuching, hari ini.

Serbuan telah dijalankan oleh sepasukan pegawai penguat kuasa KPDNHEP Sarawak yang diketuai Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP Sarawak, Peter J Berinus Agang.

Menurut Peter, kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut terhadap kes akan dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

TULAR…sebuah kenderaan asing tular di media sosial yang dikesan mengepam minyak petrol RON95 di sebuah stesen di Kuching.

“Kementerian telah memutuskan bahawa semua kenderaan berpendaftaran asing tidak dibenarkan untuk mengisi minyak petrol RON95 di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun katanya, kenderaan berpendaftaran asing dibenarkan mengisi minyak Petrol RON97 ke tangki kenderaan yang digunakan di mana-mana stesen minyak.

Peter menegaskan, mana-mana orang atau pengusaha stesen minyak yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).

“Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh didenda tidak lebih RM1 juta  manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta,” katanya lagi.

Sehubungan itu Peter menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mana-mana orang atau pengusaha stesen minyak yang melanggar perundangan ini boleh menyalurkan aduan lengkap dengan nama dan lokasi stesen minyak serta bukti bergambar kepada pihak kementerian.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak