HEBAT….Penari dari Kumpulan Budaya Tematu memikat hati juri dengan tarian mereka.

PADAWAN: Kumpulan Budaya Tematu bergelar pemenang dalam pertandingan tarian tradisional Bidayuh pada malam pembukaan Festival Mistik Bidayuh malam tadi.

Pertandingan diadakan di Dewan Parish St Paul Kampung Bunuk itu menyaksikan empat kumpulan penari dari Kampung Tematu, Kampung Bunuk, Kampung Semedang dan Kampung Garung beradu dalam pertandingan tarian tradisional itu.

Tarian yang dipersembahkan oleh Kampung Tematu digelar “Sigal Ma’an Eang” yang ditarikan sebagai tanda kesyukuran kepada Tuhan.

Tarian turut diiringi dengan paluan gong “Gondang Manag” dan “Gondang Sinoyan” berasal dari suku Bidayuh Jagoi, yang kebiasaannya ditarikan pada festival menuai, Gawai Sowea yang dikenali sebagai “Gawai Tahun atau Gawai Padi”.

Kemenangan tersebut membolehkan Kumpulan Budaya Tematu membawa pulang wang tunai RM1,500, piala dan sijil, manakala Kampung Bunuk mendapat tempat kedua diikuti Kampung Semedang di tempat ketiga.

SAMA HEBAT…Kumpulan penari dari Kampung Bunuk mempersembahkan tarian mereka.

Naib johan dan tempat ketiga masing-masing membawa pulang wang RM1,000 dan RM800 termasuk sijil.

Kampung Garung pula meraih saguhati dan membawa pulang RM200 serta sijil.

Penyampaian hadiah disampaikan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Peraembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah yang merasmikan festival tersebut.

Malam ini, acara kemuncak menyaksikan 10 jelitawan Bidayuh dari Padawan, Serian dan Bau berentap merebut gelaran “Dayung Remus” Bidayuh Mistik (Gadis Cantik).

Pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga akan membawa pulang wang berjumlah RM2,000, RM1,500 dan RM1,000 serta trofi, selempang, sijil dan hadiah yang lain.

Wang tunai berjumlah RM100 dan sijil turut diberikan sebagai sagu hati kepada peserta yang lain.

Pertandingan Dayung Remus Festival Mistik Bidayuh malam ini akan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Dr Santhara J.P.

Para pengunjung yang hadir malam ini juga dihiburkan dengan persembahan dari artis Bidayuh terkenal, Claudia Geres dan Rozzie Mila.

TERBAIK…Pengurus Kumpulan Budaya Tematu menerima trofi yang disampaikan oleh Abdul Karim sambil disaksikan oleh Willie.

Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak