KUCHING: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana menceroboh masuk kawasan menara telekomunikasi Sacofa.

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali menjatuhkan hukuman terhadap Ahmad, 26, selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan dibacakan di hadapannya.

Mahkamah menetapkan tertuduh menjalani hukuman penjara berkuat kuasa hari ini.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan menara telekomunikasi berhampiran Taman Sri Wangi, Jalan Menggris, sekitar jam 4.05 pagi, 3 Julai lepas.

Pendakwaan kes mengikut Sekyen 447 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya sekali, jika disabit bersalah.

Menurut fakta kes, anggota polis Balai Polis Gita telah menerima panggilan telefon daripada Ibu Pejabat Tekomunikasi Sacofa Kuala Lumpur menyatakan terdapat seorang lelaki telah menceroboh masuk kawasan menara terbabit.

Pihak polis kemudian bergegas ke premis terbabit dan berjaya menahan tertuduh sekitar jam 4.05 pagi pada hari kejadian.

Hasil pemeriksaan, pihak polis turut merampas barangan milik tertuduh seperti gergaji besi, beg galas, guni, pisau, pemutar skru, sepana, telefon pintar dan beg pinggang.

Pendakwaan kes dikendalikan Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak