KUCHING: Mendiang James Jacob Selat selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Merang Baru, pagi tadi.

Suasana pilu menyelubungi apabila keranda mendiang mula dibawa dari rumah mereka di Rumah Sibat Ganya, Kampung Merang Baru, Batu 27, Jalan Kuching-Serian selepas upacara penghormatan terakhir selesai pada kira-kira jam 9 pagi.

Selain ahli keluarga dan saudara mara, ucapara pengebumian mendiang turut dihadiri oleh rakan-rakan artis serta orang ramai.

Penyanyi yang pernah menghasilkan lapan buah album dan popular menerusi Lagu Menantu Kaya Peturun Raja dan Vanessa itu menghembuskan nafas terakhir di Hospital Umum Sarawak (HUS) kira-kira jam 1.32 pagi Ahad lalu, akibat paru-paru berair.

Suasana pengebumian mendiang James Jacob Selat di Tanah Perkuburan Kampung Merang Baru di sini, pagi tadi. – Gambar ihsan pembaca.

Komposer dan pemilik Syarikat Golden Pearl Recording Studio (GPRS), Jenarino Jeraki menyifatkan pemergian James merupakan satu kehilangan besar khususnya dalam industri muzik Iban.

“Saya berasa sangat terkilan kerana hasrat beliau dan artis lain di bawah naungan GPRS untuk merakamkan album kompilasi Hari Gawai sebelum ini tidak tercapai,” katanya.

Turut merasai pemergian mendiang ialah penyanyi dan komposer lagu Iban popular, Embat Lala yang menyifatkan mendiang sebagai salah seorang penyanyi yang terkenal bukan sahaja di Sarawak tetapi di seluruh Malaysia.

“Buktinya, lagu berhantu Menantu Kaya Peturun Raja daripada mendiang terus menjadi siulan peminat sehingga kini.

“Saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang James Jacob Selat, semoga mereka tabah menghadapi dugaan kehilangan mendiang,” katanya.

Bagi penyampai radio CatFM, Maxwell Franklin Saran, pemergian kawan baiknya itu adalah amat perit untuk diterima.

“Beberapa minggu sebelum ini kami ada berbual bertanya khabar masing-masing menerusi Whatsapp.

“Tiba-tiba pada pagi Ahad saya dikejutkan dengan berita kematiannya,” katanya yang turut tidak menyangka bahawa permintaan mendiang untuk dihadiahkan kasut putih andai beliau pergi dahulu menjadi kenyataan.

Penyanyi terkenal, Duna Ranggau berkata kali terakhir beliau berhubung dengan mendiang ialah pada 26 Jun lepas.

“Saya mula mengenali mendiang dari tahun 2012. Beliau merupakan seorang rakan artis dan kawan rapat yang amat baik dan suka bergurau.

“Pemergian mendiang yang merupakan permata industri lagu Iban amat kami rasai,” katanya yang turut terkilan kerana hasrat mendiang untuk merakamkan lagu ciptaannya berjudul Enda Ulih Di Irup Ke Penawar tidak kesampaian.

Bagi Leez Zwita, pengalaman manis pernah berkongsi pentas dengan mendiang suatu ketika dahulu akan menjadi kenangan terindah yang akan terus di kenang sampai bila-bila.

“Berita kematian mendiang amat mengejutkan. Beliau merupakan seorang penyanyi yang mempunyai bakat luar biasa,” katanya yang turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mendiang.

Bagi Hillary Kumang Malaysia pula, mendiang disifatkannya seperti adik kandungnya sendiri.

“Tidak terluah dengan kata-kata malah saya sehingga sekarang masih mengharapkan berita mengenai kematian beliau adalah bohong.

“Industri muzik Iban telah kehilangan seorang artis yang paling mudah didekati oleh sesiapa sahaja termasuk para peminat beliau,” katanya.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak