Gambar hiasan

MINUMAN kopi merupakan salah satu kegemaran orang ramai, dan sering dipesan apabila mengunjungi kedai makan bersama-sama keluarga atau kawan-kawan.

Bukan hanya ketika berada di luar, di rumah juga begitu.

Boleh dikatakan, hampir setiap rumah ada menyimpan kopi segera untuk kegunaan sendiri, atau dihidangkan kepada tetamu.

Bagaimanapun, ada juga dalam kalangan masyarakat tidak kira muda atau dewasa tidak dapat meminumnya kerana rasa yang kurang digemari (agak pahit).

Selalunya individu memilih untuk minum air ini kerana sudah menjadi kegemaran untuk menghilang rasa letih, mengantuk dan sebagainya, tetapi sebenarnya minuman ini mempunyai banyak khasiat yang tidak diketahui.

Tidak hanya pada kopi biasa, tetapi juga terkandung dalam kopi segera.

Kedua-duanya mempunyai manfaat kesihatan yang sama banyak.

Antara kepentingan minuman tersebut yang paling sering didengar ialah kandungan antioksidan yang tinggi dalam bijiran kopi.

Menurut sebuah kajian yang pernah dijalankan sebelum ini, ia mendapati bahawa setiap hidangan kopi segera mempunyai antara enam hingga 188 miligram asid caffeoylquinic atau ringkasnya CQAs.

CQAs secara ringkasnya mempunyai kandungan antioksidan, antibakteria, antikanser dan antihistamin yang menjadikan minuman kopi baik untuk tubuh badan manusia.

Bagaimana antioksidan memberi manfaat kepada manusia?

Antioksidan memang dikenal pasti mampu untuk melawan atom atau molekul dengan sekurang-kurangnya satu elektron tidak berpasangan, menjadikannya sangat reaktif.

Semasa proses pengoksidaan berlaku, radikal bebas menarik elektron daripada molekul lain, sama ada lemak, protein atau membran sel.

Antioksidan boleh didapati dalam buah-buahan dan sayur-sayuran.

Selain itu, kopi juga dipercayai dapat mengurangkan risiko untuk mendapat strok serta mengelakkan penurunan kekuatan fungsi dalam otak manusia.

Ia mampu untuk mengurangkan risiko penyakit pelupa.

Minuman tersebut berkemungkinan dapat membantu mengurangkan risiko penyakit neurodegeneratif seperti Alzheimer dan Parkinson.

Daripada aspek kesihatan lain pula, ia mampu membantu mengurangkan risiko seseorang untuk mengalami diabetes, selain mengelakkan penyakit hati seperti kanser hati.

Bagaimanapun, semua kajian berkenaan kesan terhadap kesihatan seperti ini adalah kajian pemerhatian semata-mata.

Kajian berasaskan pemerhatian tidak dapat membuktikan kopi ini mampu mengurangkan risiko penyakit seperti yang dinyatakan.

Minuman itu sendiri sudah membawa khasiat kepada manusia.

Begitu juga dengan aroma yang dihasilkan apabila kopi siap dibancuh.

Berdasarkan kajian yang dijalankan, aroma kopi juga mampu memberi manfaat kepada individu.

Sebuah kajian yang dijalankan sebelum ini merungkai bahawa aroma kopi mampu merangsang sistem saraf pusat yang ada dalam tubuh manusia.

Ia turut membantu meningkatkan tumpuan, serta mempengaruhi mood seseorang. Walaupun ia baik untuk kesihatan, ia juga mampu memberi kesan lain terhadap kesihatan badan.

Dos kafein yang tinggi boleh menyebabkan kesan toksik pada badan, sama seperti bahan alkaloid yang lain.

Bagaimanapun, kesan penerimaan kafein bagi setiap individu berbeza.

Jadi, setiap orang perlu mengetahui had masing-masing bagi mengelakkan kesan kesihatan sampingan.

Untuk makluman, kaitan minuman kopi dengan kesihatan manusia masih belum mempunyai sebarang kajian yang kukuh untuk memberi kepastian bahawa ia baik atau memudaratkan. Tetapi, kopi sememangnya satu minuman yang selamat untuk diminum setiap hari.

Bagaimanapun, perlu melihat kepada keadaan tertentu dan bijak mengawal pengambilan minuman.

Sekiranya seseorang minum 300- 400 miligram kafein bersamaan tiga hingga empat cawan kopi setiap hari, tidak menjadi masalah bagi orang dewasa yang sihat secara umumnya.

Sekiranya mengandung, menyusukan anak, mempunyai penyakit darah tinggi ataupun mengalami rasa jantung berdenyut laju selepas pengambilan air tersebut, pastikan tindakan segera diambil agar tidak memudaratkan.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak