kegiatan perlombongan mata wang kripto secara haram dikesan dijalankan di kawasan perindustrian Nyabau

BINTULU: Sarawak Energy Berhad (SEB) mengesan seorang pengendali perniagaan mata wang kripto mencuri bekalan elektrik bernilai sekurang-kurangnya RM9,600 sebulan dalam operasi yang dijalankan bersama polis baru-baru ini.

SEB dalam kenyataannya hari ini berkata, kegiatan berkenaan dikesan dijalankan di kawasan perindustrian Nyabau berikutan pengesanan beban elektrik yang luar biasa tinggi sekali gus menimbulkan syak wasangka terdapatnya aktiviti perlombongan mata wang kripto di kawasan berkenaan.

“Pemeriksaan ke atas tapak terbabit menemukan 55 pelayan perlombongan mata wang kripto yang masih beroperasi.

“Walaupun terdapat meter elektrik yang dipasang, pasukan mendapati pengusaha perniagaan menggunakan modus operandi untuk mencuri tenaga elektrik dengan menyalurkannya terus dari pendawaian pencawang utama dan melangkaui meter syarikat tersebut.

“Justeru, meter tidak dapat mengesan dan merekodkan jumlah tenaga elektrik yang digunakan,” katanya.

Menurut SEB, semakan mendapati bil bulanan di tapak tersebut adalah berjumlah RM9,600 sebulan, bukannya RM250 sebulan seperti yang direkodkan.

Susulan itu, laporan polis telah dibuat dan semua pihak yang terlibat akan dipanggil untuk membantu siasatan. Malah, penyambung yang tidak sah berkenaan telah ditanggalkan serta disita sebagai bukti.

Mencuri elektrik adalah kesalahan menurut Seksyen 33(5) Ordinan Elektrik Sarawak yang memperuntukkan penalti sehingga RM100,000 dan/atau lima tahun penjara.

Orang ramai diminta menghubungi talian khidmat pelanggan SEB menerusi talian 1300-88-3111 atau e-mel ke customercare@sarawakenergy.com sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak