KUCHING: Padah memasukkan dadah jenis amphetamine dan methamphetamine ke dalam badan, seorang wanita dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Tertuduh Fatiah,48, mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi.

Zubaidah turut memerintahkan tertuduh di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas selesai menjalani hukuman.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memasukkan berkenaan ke dalam badannya di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Sarawak kira-kira jam 12.30 tengah malam, 1 Jun lalu.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(1) Akta sama.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa ASP Rogayah Rosli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret berasingan, seorang remaja lelaki diperintahkan ke Sekolah Hendry Gurney sehingga berusia 21 tahun kerana terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.

Tertuduh berusia 17 tahun itu mengaku bersalah mengambil dadah jenis amphetamine dan methamphetamine di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa mengambil bahan terlarang itu di sebuah Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuching, kira-kira jam 3.10 petang, 24 Mac lepas.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(1) Akta sama.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak