KUCHING: Tema Sarawak Makmur sempena Sambutan Hari Sarawak 2022 dipilih bagi mengambarkan kemajuan pembangunan Sarawak yang pesat membangun di negeri ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KWPK), Datuk Sri Fatimah Abdullah berkata, pembangunan tersebut merangkumi kawasan bandar, luar bandar, kawasan pendalaman, pesisiran, tanah datar dan tanah tinggi.

“Momentum ini berkesinambungan usaha daripada Datuk Stephen Kalong Ningkan, Datuk Penghulu Tawi Sli, Tun Abdul Rahman Yaakub, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud diikuti Allahyarham Tok Nan (Tan Sri Adenan Satem) dan kini, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Perayaan Hari Sarawak 2022 yang dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, di Stadium Tertutup Sibu di sini, malam tadi.

Turut hadir, isteri Tun Taib, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta isteri, Puan Sri Juma’ani Tun Tuanku Bujang.

Sementara itu kata Fatimah, pembangunan infrastruktur dibina bagi melonjakkan kualiti komunikasi dan meningkatkan kualiti taraf hidup rakyat terutama di kawasan luar bandar.

Program itu juga katanya, dilaksanakan melalui penubuhan institusi pengajian tinggi dan sekolah menengah antarabangsa di seluruh Sarawak.

Kata Fatimah, sumbangan besar ke arah kemakmuran juga telah dimulakan oleh Tun Taib ketika menjadi Ketua Menteri Sarawak sebelum ini.

“Pelbagai pembangunan dilaksanakan oleh Tun Taib di Sarawak termasuk di Sibu melalui Falsafah dan Konsep Politik Pembangunan.

“Penubuhan Universiti Teknologi Sarawak di Sibu yang serba moden dan canggih adalah manifestasi agenda pendidikan pengajian tinggi yang dianggap penting di Kawasan Tengah Sarawak.

“Ia bertujuan melengkapkan usaha awal melalui penubuhan Universiti Teknologi Swinburne di Kuching dan Universiti Curtin di Miri,” katanya.

Suara Sarawak