SERBU….Sebuah bistro terletak di Central City, Samarahan diserbu Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Samarahan awal pagi tadi.

 

KOTA SAMARAHAN: Seorang pemilik bistro dan tiga orang pekerjanya ditahan kerana beroperasi tanpa lesen hiburan yang sah.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan Deputi Superintendan Sudirman Kram berkata lelaki berusia 32 tahun dan pekerjanya, iaitu dua wanita dan seorang lelaki berusia dalam lingkungan 21 hingga 29 tahun ditahan dalam serbuan yang dijalankan oleh sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Samarahan kira-kira jam 2 pagi.

Katanya semasa serbuan di bistro itu yang terletak di Central City, di sini turut mendapati muzik dimainkan dengan kuat dan terdapat beberapa orang pelanggan sedang berhibur di dalam premis.

“Pemeriksaan lanjut mendapati premis tersebut tidak mempunyai lesen hiburan yang sah daripada Majlis Perbandaran Kota Samarahan untuk menjalankan aktiviti hiburan di premis tersebut.

“Pihak polis turut membuat rampasan peralatan muzik/audio yang terdapat di dalam premis tersebut yang digunakan untuk beroperasi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, tangkapan dan rampasan telah dibawa ke Balai Polis IPD Kota Samarahan untuk tindakan lanjut.

Katanya, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 5 (1) Ordinan Hiburan 2000 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak