BERCAKAP… Miro Simoh menjawab soalan daripada pemberita pada sidang media selepas mesyuarat jawatankuasa exco Pergerakan Pemuda PBB pertama di Ibu Pejabat PBB di Jalan Bako di sini, hari ini. – Abdul Hakeem Well

KUCHING: Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menubuhkan empat biro bagi memantapkan jenteranya selain sebagai tulang belakang pelaksanaan program dan aktiviti parti.

Ketuanya, Miro Simoh berkata, empat biro itu adalah Biro Penganjuran Program dan Aktiviti; Biro Ekonomi dan Keusahawanan; Biro Sosial dan Kebajikan dan Biro Politik, Keahlian dan Perhubungan.

“Biro Penganjuran Program dan Aktiviti akan diketuai oleh Adun Tellian, Royston Valentine yang akan meneliti perancangan dan penganjuran program berkaitan parti di seluruh Sarawak.

“Bagi Biro Ekonomi dan Keusahawanan, ia akan diketuai oleh Adun Tanjung Datu, Azizul Annuar Adenan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat jawatankuasa exco Pergerakan Pemuda PBB pertama di Ibu Pejabat PBB di Jalan Bako di sini, hari ini.

Mengulas lanjut kata Miro yang juga Adun Serembu terbabit, Adun Machan, Allan Siden Gramong akan mengetuai Biro Sosial dan Kebajikan, manakala Ahli Parlimen Sibuti, Lukanisman Awang Sauni pula akan mengetuai Biro Politik, Keahlian dan Komunikasi.

“Empat biro tersebut akan membantu menyelaraskan pergerakan sayap pemuda supaya lebih banyak program dapat kita laksanakan dalam mendampingi rakyat dengan lebih dekat,” ujarnya.

Berhubung penubuhan sayap belia PBB 1828, Miro menjelaskan PBB masih menunggu kelulusan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) setakat ini.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak