KUCHING: Padah terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah, seorang lelaki tempatan didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Tertuduh Shafiee, 30, mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.

Syarifah Fatimah menjatuhkan hukuman penjara empat bulan sekiranya tertuduh gagal menjelaskan denda.

Selain itu, tertuduh juga diperintahkan dalam pengawasan polis selama dua tahun selepas membayar denda atau menjalani hukuman penjara.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memasukkan dadah terlarang jenis Methamphetamine dan Amphetamine ke dalam badannya.

Dia melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Kampung Haji Baki, Jalan Batu Kitang, kira-kira jam 3.40 petang, 30 Julai 2020.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952 (Akta 234) dan dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman berat terhadap tertuduh sebagai pengajaran.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak