KUCHING: Seorang penagih dadah tegar dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas kesalahan penyalahgunaan dadah.

Tertuduh Siong, 43, mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Afidah Abdul Rahman.

Tertuduh dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen di sini, hari ini oleh anggota polis.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu yang sebelum ini memiliki empat rekod kesalahan lampau di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 masing-masing pada tahun 2019, sekali lagi ditangkap positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine ketika ditahan di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kuching sekitar jam 5.10 petang pada 11 Januari 2022.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(a) ADB 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39 C (1) akta sama.

Sebelum dijatuhkan hukuman, tertuduh merayu agar diringankan hukuman berat kerana sedang mengambil ubat-ubatan kerana dia mempunyai penyakit diabetes dan kakinya bengkak akibat penyakit tersebut.

Selain itu, dia juga menyatakan mempunyai masalah darah tinggi dan janji temu untuk dialisis buah pinggang pada Oktober depan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Danial Ali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak