SARIKEI: Perjuangan anak Sarawak untuk menuntut kebebasan daripada British adalah sesuatu yang tidak ternilai dan perlu dihargai oleh setiap individu khususnya generasi muda hari ini.

Ahli Parlimen Tanjong Manis Ir Yusuf Abd Wahab berkata, pelbagai cara boleh dilakukan untuk menzahirkan
semangat patriotik kepada negeri antaranya menyemai disiplin diri di samping bersolidariti dengan menghayati sepenuhnya pengertian Hari Sarawak.

Malah katanya, semangat menyambut detik bersejarah itu wajar diperkasakan bagi memperlihatkan kesatuan rakyat Sarawak khususnya dalam menghargai perjuangan generasi terdahulu.

“Hasil perjuangan mereka, anak Sarawak akhirnya berupaya menjadi pemimpin dan mentadbir negeri sendiri. Ada antaranya sanggup berjuang dan berkorban  nyawa.

“Pengorbanan yang dicurahkan untuk rakyat Sarawak bukanlah mudah. Ini membuktikan semangat juang tinggi anak tempatan bukan sahaja untuk bebas merdeka tapi juga pemikiran rakyat daripada tunduk kepada penjajah,” katannya.

Mengambil contoh perjuangan Rosli Dhoby dan rakan-rakannya selain Temenggung Tun Jugah
Barieng yang pernah mendapat jolokan ‘jambatan ke Malaysia,’

Yusuf berkata, perjuangan tokoh hebat itu wajar dijadikan inspirasi oleh generasi muda untuk membina kekuatan jati diri.

Beliau berkata, tanggal 22 Julai 1963 begitu istimewa khususnya bagi rakyat Sarawak lantaran berpeluang mentadbir negeri sendiri yang sebelum ini di bawah belenggu jajahan British.

Tarikh keramat yang menyuntik semangat perjuangan anak Sarawak itu dianggap lebih penting dan utama daripada perayaan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos setiap tahun.

Ujarnya, walaupun 22 Julai bukan tarikh kemerdekaan Sarawak sebagai sebuah negara, namun menjadi detik amat penting apabila anak tempatan mendapat kebebasan dari sudut pentadbiran.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak