KUCHING: Kelab Hoki Rentap Betong (Rentap HC) mempelawa pasukan hoki dari Bahagian Betong, Sarikei dan Sri Aman untuk menyertai Kejohanan Hoki Dalam Dewan Piala Perbadanan Sukan Sarawak (SSC)/Persatuan Hoki Sarawak (PHS) 2022 yang akan berlangsung di Stadium Mini Betong bermula dari 6 hingga 7 Ogos depan.

Presiden Kelab Hoki Rentap Betong, Azmi Abdullah berkata kejohanan terbahagi kepada lapan katogeri iaitu terbuka lelaki dan perempuan (30 TKB), terbuka lelaki dan perempuan (17 TKB), terbuka lelaki dan perempuan (15 TKB) dan terbuka lelaki dan perempuan (12 TKB).

Menurutnya, kejohanan seumpama itu telahpun berlangsung di Kuching, Serian dan Miri.

PRESIDEN…Azmi Abdullah

“Pemenang setiap kategori akan mewakili Zon Betong, Sarikei dan Sri Aman ke pusingan akhir yang akan diadakan selepas tamat semua tujuh siri kejohanan merangkumi Betong, Mukah, Sibu, Bintulu, Miri, Serian dan Kuching,” katanya kepada Arena Suara Sarawak.

Dalam pada itu, beliau berkata untuk edisi Zon Betong, pihaknya menambah kategori (12TKB) dan ia merupakan pendekatan ke arah meningkatkan program pembangunan sukan hoki di Bahagian Betong dan Sarawak khususnya.

“Kejohanan ini diharap dapat memupuk budaya sukan dalam kalangan belia dan pelajar, sekali gus dapat menjadi landasan terbaik untuk mencungkil bakat baru dalam kalangan pemain terlibat.

Hadiah berupa piala, pingat dan sijil turut disediakan kepada pasukan yang memenangi setiap katogeri.

Yuran penyertaan RM40 dikenakan kepada pasukan bertanding bagi semua kategori.

Pasukan yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut serta borang penyertaan boleh menghubungi beliau di talian 019-8872676 atau Che Mohamad Bashron (013-5736767) dan Faiz Mohd Ali (013-3922738).

Tarikh tutup penyertaan adalah pada 3 Ogos depan.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak